Mahathir ajar ahli utamakan Umno melebihi individu
Potal pro-Umno Mykmu.net mengingatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau yang membudayakan ahli-ahli parti supaya mengutamakan kepentingan parti melebihi segala-galanya.
Katanya, Mahathir tidak sepatut kecewa apabila ramai pemimpin dan ahli Umno marah kepadanya kerana bekerjasama dengan pemimpin DAP Lim Kit Siang dalam usaha menumbangkan Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri dan presiden parti Melayu itu.
“Beliau tidak patut kecewa kerana inilah budaya yang beliau ajar kepada ahli Umno sejak dahulu demi menjaga kepentingan diri dan kroni.
“Mahathirlah orang yang melaung-laungkan parti mengatasi kepentingan individu,” kata Mykmu .
Sebelum ini Mahathir mengecam bekas perdana menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Hussien Onn, veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah dan Tan Sri Rais Yatim kerana bersama pembangkang menentangnya ketika memimpin negara ini.
Portal itu turut mempersoalkan jika Mahathir sekarang bersetuju Lim adalah betul kerana mahu menolak Najib dari pemerintahannya, adakah pemimpin supremo DAP juga betul kerana mahu menumbangkannya semasa beliau adalah perdana menteri sebelum ini.
“Perlukah kita ulang-ulang isu Jambatan Pulau Pinang, BMF, Perwaja, PLUS, Renong, Forex Bank Negara dan lain-lain lagi?
“Tidak perlu kerana itu semua tentu bukan salah Mahathir yang mudah lupa,” sindir penulis yang tidak dinamakan itu.
Mahathir hanya beri kroni
Katanya lagi, ahli Umno juga seolah-olah pekak dan bisu apabila Mahathir dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyinggung perasaan orang Islam di negara ini.
“Memang betul Ketua-Ketua Umno Bahagian menerima peruntukan berjuta ringgit untuk disalurkan kepada rakyat.
“Salahkah mereka menerima peruntukan membantu sekolah agama rakyat, sekolah jenis kebangsaan, memberi bantuan kepada orang miskin dan anak-anak sekolah,” soalnya.
Katanya lagi, ketika pemerintahan Mahathir, beliau hanya memberikan wang negara kepada kroninya sahaja.
“Pada Mahathir yang lupa daratan bantuan seperti ini mungkin bertaraf dedak sahaja. Tapi kepada orang biasa bantuan-bantuan ini meringankan beban kehidupan mereka.
“Pernah Mahathir beri dulu? Hampir semua wang negara diberikan kepada kroni-kroni beliau dalam bentuk subsidi elektrik, gula, beras dan petrol,” soalnya.
Bagaimanapun, Mykmu mengakui Mahathir meninggalkan negara ini dengan pelbagai warisan yang besar namun menegaskan ia memerlukan kos yang tinggi.

