Mata keseluruhan Indeks Syariah Malaysia, bagi mengukur keseriusan kerajaan mencapai lima aspek maqasid (objektif) syariah, bagi tahun lalu mencatat angka 75.42 peratus.

Bagaimanapun menurut teks khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) peratusan itu menunjukkan bahawa sistem pentadbiran negara masih perlu diperbaiki.

“Peratusan ini menunjukkan bahawa masih terdapat ruang yang perlu ditambah baik di dalam sistem pentadbiran negara berpaksikan Maqasid Syariah dalam mengukir kejayaan bagi meningkatkan kualiti hidup dan kemakmuran,” kata khutbah.

Khutbah hari ini menyentuh mengenai indeks syariah Malaysia, penyelesaian dalam membentuk kemakmuran negara.

Menurut teks itu, elemen dalam Maqasid Syariah boleh menjadi teras pengukuran indeks ini amat sesuai dan menepati semua aspek kehidupan manusia dan memberi kesan positif dalam pentadbiran sebuah negara maju.

“Inisiatif pelaksanaannya dilihat berperanan sebagai wadah muhasabah untuk melihat apa yang sudah dilaksanakan kerajaan menepati syariah

“Selain mengenalpasti ruang-ruang penambahbaikan yang perlu diberi fokus supaya rakyat mendapat banyak manfaat,” kata khutbah itu.

Indeks itu membuat ukuran dalam lapan bidang utama iaitu perundangan, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.

Bidang perundangan Islam mencapai mata tertinggi dengan 87.19 peratus dalam Indeks Syariah Malaysia itu.

Bidang kedua mencatat mata tertinggi pula dalam bidang pendidikan (82.5 peratus), diikuti politik (79.19 peratus), kesihatan (73.92 peratus), sosial (68.52 peratus), ekonomi (65.25 peratus), budaya (66.47 peratus) dan prasarana persekitaran (62.31 peratus)