Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
1MDB nafi biayai filem anak tiri Najib
Diterbitkan:  Apr 3, 2016 6:26 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

1Malaysia Development Bhd (1MDB) berkata, ia tidak pernah melabur atau memindahkan dana kepada Red Granite Pictures, sama ada secara langsung atau melalui orang tengah.

Mana-mana kenyataan yang bercanggah dengannya adalah palsu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Oleh itu kami menafikan sebarang andaian yang 1MDB telah membiayai penerbitan The Wolf of Wall Street atau mempunyai sebarang pembabitan dengan filem itu dalam sebarang kapasiti, sebagaimana dituduh atau dikaitkan oleh sesetengah laporan media baru-baru ini," katanya lapor Bernama .

Semalam Malaysiakini melaporkan siasatan di dua negara mempercayai dana 1MDB berjumlah AS$155 juta (RM603 juta) disalurkan ke syarikat produksi Red Granite bagi penerbitan filem 'The Wolf of Wall Street' pada 2013, menurut laporan Wall Street Journal (WSJ).

Wang dari firma pelaburan Malaysia yang bermasalah itu dipindahkan kepada Red Granite pada tahun 2012 melalui laluan berliku membabitkan syarikat luar pesisir, kata WSJ yang memetik mereka yang rapat dengan sisatan dan disokong oleh dokumen yang diteliti oleh akhbar berkenaan.

Anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz, 39, adalah pengerusi Red Granite, sebuah syarikat penerbitan filem yang ditubuhkan pada 2010.

Walaupun tidak dikenali, Red Granite berjaya mengumpulkan AS$100 juta untuk pembikinan 'The Wolf of Wall Street', sebuah filem yang memaparkan kisah seks dan dadah dalam pasaran saham yang dibintangi oleh pelakon Hollywood Leonardo DiCaprio.

Lihat Komen
ADS