Kegagalan peguamnya hadir ke perbicaraan kes rayuannya menyebabkan pelakon, Zahida Rafik diarah membayar kos sebanyak RM5,000 kepada bekas pemandu peribadinya Noor Azman Azemi.
Hakim Datuk Lim Yee Lan, Dr Badariah Shahamid dan Harmindar Singh Dhaliwal mengarahkan perkara itu selepas Shafee Abdullah gagal hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya kerana mempunyai perbicaraan lain di Pulau Pinang.
“Beliau perlu membayar kos tersebut kerana telah menyusahkan ramai orang yang terpaksa datang dari tempat yang jauh, “ kata Badariah.
Peguam Azman, Lathefa Koya berkata mereka tidak dimaklumkan oleh peguam Zahida bahawa pihaknya akan memohon penangguhan bagi kes tersebut.
"Kami hanya menerima surat makhamah menolak penangguhan oleh mereka tapi kami tak dimaklumkan mereka akan minta penangguhan lagi hari ini,” kata Latheefa.
Sementara itu, kes rayuan Zahida itu dipinda ke sebuah tarikh lain yang belum ditetapkan mahkamah.
Pada 2014, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan tuntutan saman malu oleh bekas pemandu Zahida Rafik di mana pelakon tersebut menuduhnya mengambil wangnya.
Hakim berkata Noor Azman berjaya membuktikan bahawa terdapat unsur fitnah telah dilakukan terhadapnya.
Dalam saman malu yang difailkan oleh Noor Azman pada 27 November 2013, dia mendakwa Zahida memfitnahnya melarikan wang sebanyak RM200,000 seperti dilaporkan sebuah akhbar tabloid.
