Pengerusi CIMB Datuk Seri Nazir Razak menafikan menggunakan kakitangan banknya untuk mengagihkan wang AS$7 juta yang diterima daripada abangnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib sebelum pilihan raya umum lalu.

Beliau memberitahu Edge Financial Daily minggu lalu bahawa beliau mengarahkan pengurus perhubungan, yang mengendalikan akaunnya, untuk mengagihkan dana itu.

“Akaun perbankan saya di CIMB... Tiada apa yang pelik dalam isu ini. Semuanya dilakukan dengan telus,” katanya.

Akhbar kewangan antarabangsa The Wall Street Journal (WSJ) yang mula-mula melaporkan berita itu mendakwa dana-dana itu diedarkan oleh kakitangan bank.

Dalam laporan WSJ, Nazir mengakui menerima sejumlah wang daripada abangnya.

Nazir memberitahu WSJ bahawa beliau percaya wang itu adalah sumbangan daripada syarikat dan individu di Malaysia bagi kegunaan pilihan raya, dan tidak pasti sama ada terdapat sumber lain.