'Abang minta bantuan, ia tak libatkan sebarang kesalahan'
Pengerusi CIMB, Datuk Seri Nazir Razak menafikan sebarang salah laku berhubung pengagihan AS$7 juta yang diterima daripada abangnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menjelang pilihan raya umum lalu.
"Ini menjelang pilihan raya umum dan ia satu perkara yang penting. Apa yang diberikan telah saya agihkan," katanya kepada The Edge Financial Daily minggu lalu.
"Saya rasa rakyat akan membuat keputusan sendiri. Hakikatnya, apa yang salah lakukan itu bukannya suatu kesalahan. Abang saya minta bantuan dan ia tidak melibatkan melakukan sebarang kesalahan, maka saya membantunya.
"Saya tidak mendapat manfaat dalam apa jua cara, juga tidak fikir ini akan menjadi kontroversi.
Tetapi saya menerima hakikat berdasarkan penelitian dan kepentingan dalam kontroversi semasa ini, bahawa dirinya saya juga diteliti," katanya.
Nazir berkata beliau mahukan ketelusan supaya orang ramai tahu apa yang berlaku, dan ini mendorongnya bersuara mengenai perkara itu.
Ketika ditanya sama ada isu itu akan sampai ke titik yang memaksanya berundur dari bank yang diterajuinya itu, beliau berkaya: "Saya rasa kita perlu menganalisis apa kesalahan itu Tetapi di mana salah laku itu?
"Adakah saya menggunakan sumber bank? Tidak. Adakah saya mengarahkan kakitangan untuk melakukan sesuatu yang luar biasa? Tidak.
“Jadi mana kesalahannya di sini? Itu soalan asas," katanya.
Nazir juga mengulangi bahawa beliau tiada sebarang petunjuk berhubung dari mana dana berkenaan diperoleh dan percaya bahawa ia adalah sumbangan daripada syarikat-syarikat dan individu Malaysia.
"Pada masa itu, tidak ada cerita 1MDB. Tidak ada kaitan atau sebarang hubungan antara 1MDB dan politik. Semua itu muncul kemudiannya.
"Adalah perkara biasa, menjelang pilihan raya, parti-parti politik mendapat sumbangan atau derma. Saya sedar kerana ada kawan-kawan akan menelefon an berkata mereka mahu menderma kepada kempen tertentu," katanya.
Minggu lalu, Wall Street Journal memetik Nazir sebagai mengakui menerima AS$7 juta daripada Najib.
Wang itu kemudian diagihkan kepada ahli-ahli politik parti pemerintah.
Nazir Razak kemudiannya dalam posting di Instagram, mengakui dirinya tidak sepatut membantu abangnya.
"Saya faham kemarahan (orang ramai), dan berdasarkan pengalaman, saya tidak sepatutnya.
"Saya andaikan dan percaya dengan niat baik bahawa dana itu adalah sah daripada kutipan dana politik," tulisnya.
Beliau menegaskan bahawa semua wang itu telah diagihkan sepenuhnya dan beliau tidak menyimpan walau sesen pun.

