Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meramalkan, Amerika Syarikat mungkin menggunakan Israel sebagai proksi untuk melancarkan serangan terhadap Iran berhubung isu nuklear.

Beliau percaya Amerika akan menyeru Israel untuk mengebom kemudahan nuklear Iran seperti yang dilakukan oleh rejim Tel Aviv terhadap Iraq sebelum Amerika melancarkan perang besar-besaran terhadap Iraq.

"Amerika nampaknya mahu orang lain melawan untuk mereka," katanya sambil menambah bahawa negara Islam menjadi sasaran kerana didorong oleh sikap Amerika yang anti-Islam.

Menurut Bernama , Dr Mahathir memberitahu pemberita di Kuala Lumpur hari ini semasa menjawab pertanyaan mengenai perkembangan isu nuklear Iran-Korea Utara.

Katanya, Amerika akan menyerang Iran kerana ia tahu negara itu tidak mempunyai senjata yang boleh menyebabkan kemusnahan besar-besaran walaupun dakwaan seperti itu dibuat terhadap Tehran.

"Mereka menyerang Iraq kerana tahu Iraq tidak mempunyai senjata yang boleh menyebabkan kemusnahan besar-besaran," katanya.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau percaya Amerika sudah pasti tidak akan menyerang Korea Utara walaupun Pyongyang mengisytiharkan secara terbuka ia memilik senjata nuklear.

"Korea Utara, agendanya berbeza. Ia bukan sahaja kerana senjata yang boleh menyebabkan kemusnahan besar-besaran, juga terdapat elemen benci terhadap umat Islam. Terdapat elemen keagamaan dalam hal ini. Jika ia membabitkan bukan Islam, Amerika tidak akan menyerang," katanya.

Negara Islam berpecah belah

Lagipun, katanya, Amerika perlu berjaga-jaga dalam menangani isu nuklear Korea Utara kerana banyak yang boleh dilakukan oleh negara itu dengan senjata kemusnahannya.

Amerika, katanya, percaya ia boleh berbuat apa sahaja yang ia mahu terhadap negara-negara Islam kerana mereka berpecah belah, ada negara Islam menyokong Amerika menentang negara Islam yang lain dan kerana negara-negara Islam tidak mampu bangkit menentang.

Satu-satunya tentangan yang mungkin dihadapi Amerika, katanya, ialah dari pergerakan seperti al-Qaeda yang menggunakan keganasan.

Dr Mahathir mengulangi pendiriannya bahawa cara memerangi keganasan ialah dengan mencari akar umbi semua keganasan yang terjadi selepas keputusan dibuat untuk menyerahkan Palestin kepada kaum Yahudi dan mengusir rakyat Palestin dari tanah tumpah darah mereka tanpa sebarang pampasan.

Bagaimanapun, beliau percaya negara-negara berkuasa tidak akan bertindak menyelesaikan akar umbi keganasan kerana mahu melindungi Israel, kerana orang Yahudi mempunyai pengaruh kuat di negara-negara terbabit.

Sebaliknya, kata beliau, negara-negara Islam akan terus bertelagah dan mensabotaj satu sama lain, menyebabkan keadaan bertambah buruk.

"Dunia Islam harus berbalik kepada Islam. Ajaran Islam sebenar. Ajaran asas Islam bahawa semua orang Islam adalah bersaudara dan tidak harus membunuh rakan seagama," kata beliau.

Dr Mahathir juga meragui perjanjian gencatan senjata Palestin-Israel yang dicapai minggu lalu akan berhasil kerana beliau meragui komitmen Israel.