Ahli Umno adalah individu yang nafasnya Umno, pendapatnya Umno dan percakapanya Umno, kata pemimpin veteran parti itu, Tengku Razaleigh Hamzah.

Razaleigh yang lebih mesra dikenali sebagai Ku Li, berkata atas dasar itu, beliau menyokong presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang kini dilanda masalah.

"Ahli Umno ini nafas, makan, percakapan, fikirannya (mengenai Umno)... secara rohani, (juga) orang Umno," kata Razaleigh ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Sebelum ini, dalam satu temu bual dengan Utusan Malaysia semalam, Razaleigh berkata beliau adalah ahli Umno sedangkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi.

Justeru, beliau dipetik berkata sebagai seorang ahli Umno, beliau mesti menyokong presiden parti.

Razaleigh pada pertemuan hari ini juga menyangkal hujah Dr Mahathir bahawa Umno bukan lagi sebuah parti Melayu tetapi adalah parti Najib sekarang.

"Anda boleh bermain dengan kata-kata tetapi apanya (Umno) yang sah? Ia sebuah masyarakat politik yang berdaftar, ia adalah sebuah parti politik yang ahli-ahlinya menyokong cita-cita dan objektif organisasi itu," katanya.

Sambil mengulangi bahawa beliau juga menuntut kebenaran mengenai skandal 1MDB dan sumbangan derma dalam akaun bank peribadi Najib, Ahli Parlimen Gua Musang itu, bagaimanapun, berkata beliau tidak akan mengulas perkara itu berdasarkan khabar angin.

"Saya telah beritahu anda bahawa (isu-isu berkaitan) 1MDB dan yang lain hanya akan dibincangkan selepas (laporan) ketua audit negara (mengenai 1MDB) dibentangkan di Parlimen," katanya.

"Saya tidak akan bercakap perkara-perkara berdasarkan khabar angin ... Saya tidak mempertahankan sesiapa, saya mahu kebenaran," katanya.

[Baca berita penuh]