Kerajaan akan mengemukakan permohonan untuk membatalkan perintah mahkamah yang diperolehi penduduk Kampung Broga supaya diberhentikan sementara pelaksanaan projek insinerator berharga RM1.5 bilion sehingga selesai perbicaraan kes saman sebelum ini.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata permohonan tersebut akan dikemukakan tidak lama lagi tetapi tidak menyebut tarikh khusus.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengeluarkan perintah penangguhan sementara projek tersebut kepada penduduk Kampung Broga sementara menunggu keputusan saman sebelumnya bagi mendapatkan perintah memberhentikan projek insinerator itu.

Hakim Suriadi Halim Omar juga menyentuh mengenai ketiadaan wakil defendan, iaitu Menteri Besar Selangor, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar serta Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Selangor.

Ketika ditanya mengenainya - ketika dihubungi malaysiakini hari ini - Abdul Gani berkata ia berpunca daripada masalah komunikasi antara pejabatnya dengan Jabatan Undang-undang Selangor.

Kerana itulah, katanya, pegawai berkenaan tidak hadir pada hari berkenaan.

Katanya, memandangkan perkara tersebut difailkan sebelah pihak, langkah menfailkan afidavit jawapan akan memakan masa dan kerana itulah mereka telah memohon untuk mendapat penangguhan.

Perlu sebulan

Sementara itu, Ebara Environmental Engineering (M) Sdn Bhd (EEEM), wakil tempatan bagi kontraktor Jepun yang akan membina insinerator itu, sedang mengambil langkah susulan mengenai laporan berhubung perintah menangguhkan sementara projek itu.

Pengarah Urusan EEEM Masakiyo Kuratani berkata beliau memerlukan tempoh sebulan sebelum dapat membuat keputusan mengenai langkah yang akan diambil seterusnya.

"Saya terperanjat dengan keputusan itu. Kami sedang mendapatkan butir-butir mengenai keputusan tersebut yang dilaporkan dalam akhbar New Sraits Time ," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga enggan mengulas lanjut apabila ditanya reaksinya terhadap perkara itu.

"Saya hanya boleh membuat ulasan mengenainya selepas tempoh sebulan. Hubungi saya selepas tempoh tersebut," katanya.

Ebara Corp yang beribupejabat di Tokya berjaya mendapatkan kontrak pada bulan Februari 2003, untuk menyediakan rekabentuk, membina dan mengendalikan insinerator itu yang mampu melupuskan 1,500 tan buangan pepejal dari kawasan perbandaran.

Berikutan itu, penduduk Broga membantah projek insinerator yang dipindahkan ke situ dari Puchong selepas mendapat bantahan orang awam di sana.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan tidak dapat dihubungi untuk mendapat ulasan mengenainya.