Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
50 pegawai sandang jawatan sensitif ditukar mulai April

Seramai 50 pegawai yang menyandang jawatan sensitif di pelbagai kementerian akan ditukarkan secara dalaman di agensi

masing-masing atau ke kementerian lain mulai bulan ini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.

Beliau berkata pegawai-pegawai yang dikenal pasti itu telah berkhidmat antara lima hingga 10 tahun di beberapa bahagian kementerian khususnya kewangan, perolehan dan kontrak.

"Pegawai ini ditukar bukan kerana disyaki melakukan kesalahan tetapi berdasarkan pekeliling sedia ada bagi mengelak berlakunya ketirisan. Mereka semua adalah pegawai yang baik," katanya.

Ali berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil pengiktirafan bintang indeks penarafan bintang (Indeks SSR) agensi sektor awam 2015-2016 di Putrajaya semalam.

Menurutnya Jabatan Perkhidmatan Awam sedang (JPA) menyediakan surat pertukaran pegawai berkenaan dan ia akan diedarkan pada bulan ini dan Mei.

"Kali ini, kita telah meminta agar pegawai-pegawai ini tidak ditahan (daripada ditukar) agar mereka daripada perkhidmatan guna sama boleh ditukar secara lancar tanpa ganggu-gugat kerja," jelas beliau.

Dalam pada itu, Ali menyifatkan perbuatan salah guna kuasa di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai 'hanya satu daripada kes' yang berlaku dan meminta agar orang ramai tidak menyamakan penjawat awam lain dengan kes berkenaan.

"Oleh kerana satu dua orang membawa contoh tidak baik dalam perkhidmatan awam, saya tidak mahu moral pegawai kerajaan lain terganggu kerana sikap satu dua pegawai yang tidak amanah," katanya.

Justeru itu, katanya, kerajaan sedang mengkaji garis panduan dan meminta semua bahagian kawalan kewangan dan ketua setiausaha kementerian-kementerian supaya memantau dan menyemak secara rawak mengenai kelulusan perbelanjaan bagi sesuatu aktiviti.

Ali berkata pihaknya akan menerima laporan siasatan audit berhubung kes salah guna kuasa pegawai kanan KBS daripada Jabatan Audit Negara pada akhir bulan ini.

"Kita akan lihat cadangan Jabatan Audit Negara dan kita akan cari jalanuntuk mengatasi kelemahan dan ketirisan di kementerian itu," katanya.

Terdahulu, Ali menyampaikan sijil kepada 42 agensi termasuk 15 kementerian yang memperoleh penarafan lima bintang dalam Penilaian Indeks SSR bagi 2015.

Penarafan Bintang merupakan satu mekanisme yang digunakan untuk mengukur dan menilai prestasi pencapaian agensi sektor awam berdasarkan pendekatan pembangunan organisasi.

Ali turut melancarkan Program 'Take A Break...Read!@Putrajaya 2016: A Book Alive', yang merupakan projek kesinambungan dari 2014 bagi mengalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat, selain menonjolkan sikap prihatin penjawat awam menerusi kempen derma bahan-bahan bacaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS