Messi pun dalam 'Panama Papers', kata KJ
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, mempunyai syarikat pesisir pantai bukan satu jenayah.
Beliau berkata, pihak yang menubuhkan syarikat berkenaan mempunyai pelbagai sebab antaranya untuk tujuan perniagaan.
Malah, Khairy yang mengulas mengenai pendedahan maklumat 'Panama Papers' itu juga berkata, nama pemain bola sepak Lionel Messi turut berada dalam dokumen tersebut.
"Mereka tubuhkan perniagaan offshore vehicles kerana banyak sebab antaranya untuk membuat perniagaan.
"Terdapat pihak ini yang berada dalam perniagaan ini sebelum mereka dalam politik. Kita akan tengok apa akan berlaku.
"Lionel Messi pun ada (dalam Panama Paper). (Oleh itu) ia tidak secara automatik mengaitkan sesiapa sahaja dengan perbuatan jenayah.
"Ada banyak infomasi di dalam sana. Kita tidak tahu apakah kandungan penuh tentang kertas itu.
"Secara jelas (perkara ini) mendominasi tajuk utama. Jadi kita akan tengok apa akan berlaku," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Selain itu, ditanya sama ada kerajaan perlu mengambil tindakan terhadap penyebaran 'Panama Papers; seperti yang diambil oleh kerajaan India, Khairy berkata:
"Saya tidak tahu mengenai perkara itu," katanya.

