Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan tujuh hari bermula 24 Mei ini bagi empat anggota polis membela diri terhadap pertuduhan membunuh N.Dharmendren semasa dia ditahan di dalam lokap polis.

Hakim Datuk Kamardin Hashim menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut di hadapannya.

Pada 26 Februari, Mahkamah Rayuan memerintahkan Inspektor S. Hare Krishnan, 42, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34, membela diri atas pertuduhan itu selepas mengetepikan pembebasan mereka oleh Mahkamah Tinggi.

Mereka didakwa membunuh Dharmendran, 32, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), Tingkat 7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah antara 18 dan 21 Mei 2013.

Mereka berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 12 Dis 2014, Hakim Kamardin yang ketika itu Hakim Mahkamah Tinggi membebaskan keempat-empat anggota polis itu daripada pertuduhan membunuh, di akhir kes pendakwaan tanpa memerintahkan mereka membela diri.

Dharmendran ditahan atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api.

Peguam Datuk Baljit Singh Sidhu dan Hisyam Teh Poh Teik mewakili Jaffri, Mohd Nahar dan Mohd Haswadi, manakala Hare Krishnan diwakili peguam M. Athimulan.

Pada prosiding hari ini, Baljit Singh memaklumkan mahkamah pihaknya akan memanggil lima hingga enam orang saksi pada perbicaraan itu nanti.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nordin Ismail.

-Bernama