Jumlah kemasukan pekerja Indonesia secara sah ke Malaysia dijangka bertambah seramai 500,000 orang lagi menjadikan jumlah kepada 1.5 juta ekoran persetujuan kedua-dua negara menangani isu pendatang tanpa izin Isnin lalu, kata Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Menurut Bernama , Timbalan Perdana Menteri berkata, peningkatan bilangan pekerja Indonesia itu daripada satu juta kepada 1.5 juta disebabkan langkah kerajaan kedua-dua negara untuk menjaga kepentingan bersama.

Persetujuan itu, katanya, yang dicapai antara Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, merupakan satu langkah untuk menjaga kepentingan kedua-dua negara.

"Presiden Indonesia faham kenapa kita perlu mengambil tindakan (operasi besar-besaran menangkap pendatang tanpa izin pada 1 Mac ini). Tindakan kita bukan tidak berperikemanusiaan sebaliknya untuk melindungi kepentingan bersama.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Ekuestarian Angkatan Tentera Malaysia (MAFEC) di Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, Najib berkata: "Malaysia dapat merekodkan kemasukan pekerja asing Indonesia manakala bagi Indonesia pula, kebajikan pekerjanya dapat dijaga."

Menurutnya, kerajaan juga telah membuka 11 pusat pendaftaran di Indonesia sebagai langkah memudahkan kemasukan pekerja dari republik itu.

Tempoh pengampunan

Selain itu, katanya, pertambahan jumlah pekerja dari Indonesia itu juga berpunca daripada keperluan pasaran tenaga kerja di negara ini yang semakin luas hasil perkembangan ekonomi negara yang positif.

Najib turut menggesa pendatang tanpa izin dari pelbagai negara yang masih berada di Malaysia supaya mengambil peluang untuk pulang ke negara asal sempena tempoh pengampunan yang akan berakhir 28 Februari ini.

"Selepas tempoh pengampunan tamat, pendatang tanpa izin tidak lagi boleh menyalahkan kerajaan Malaysia terhadap sebarang tindakan pihak berkuasa," katanya.

Mengenai dakwaan ada majikan yang tidak membayar gaji pendatang asing, Najib berkata kerajaan akan menggesa majikan terbabit supaya membayar gaji mereka.

Namun, katanya, siasatan mendapati bukan majikan yang tidak membayar gaji pekerja tetapi kegiatan itu dilakukan oleh subkontraktor yang merupakan rakyat Indonesia sendiri.