Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
3 pengawal keselamatan ditahan disyaki guna IC palsu

Tiga pengawal keselamatan ditahan awal hari ini di sebuah kawasan taman perumahan di Shah Alam, Selangor kerana disyaki menggunakan kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri untuk bekerja.

Tiga lelaki berumur 23, 35 dan 38 tahun itu dicekup ketika sedang bertugas di pos pengawal taman perumahan Temasya Anggun Temasya Glenmarie kira-kira 12.30 tengah malam dalam 'Ops ID' yang dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pengarah JPN Datuk Seri Sulaiman Keling berkata ketika siasatan awal terhadap pengawal-pengawal keselamatan tersebut di lokasi, mereka mendakwa berasal dari Sabah dan mengaku lahir di negeri berkenaan.

"Siasatan lanjut ke atas kesemua pengawal keselamatan terbabit akhirnya mendapati kesemua mereka berasal dari Basilan, Filipina," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sulaiman berkata siasatan terhadap kad pengenalan yang digunakan mendapati kesemuanya adalah palsu dan mereka mendapat kad tersebut melalui sindiket di Keningau, Sabah dengan bayaran RM800 bagi setiap kad pengenalan.

Beliau berkata kesemua pengawal keselamatan terbabit ditahan di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua yang ditahan dibawa balik ke Jabatan Pendaftaran Negara, Putrajaya untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Sulaiman turut mengingatkan pihak syarikat pengawal keselamatan supaya hadir ke JPN untuk membuat pengesahan ketulednan dokumen pekerja masing-masing untuk mengelak kes penggunaan kad pengenalan palsu dalam kalangan pengawal keselamatan daripada berulang.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS