Cuaca panas bawa rezeki berganda pada Orang Asli
Tangan Tik Saleh, wanita Orang Asli suku Jakun pantas mencapai daun nipah, lalu digigit hujungnya sedikit sambil sebelah lagi tangan menyelit hujung daun di bahagian ibu jari kaki.
Apabila hujung daun itu sudah 'kemas' dipegang ibu jari kakinya, Tik, 50, pantas 'mencarik' lapisan nipis dari permukaan daun yang berwarna seakan-akan pucuk daun kelapa itu, sekaligus mengasingkan bahagian keras dan lidi daun nipah.
"Proses ini (dipanggil) selupat. Hanya permukaan daun yang nipis diperlukan. Bila sudah kering, baru boleh jadi rokok daun," katanya kepada Bernama semasa ditemui di pondoknya dalam kawasan belukar di Kempadang di Kuantan baru-baru ini.
Tik, dari Perkampungan Orang Asli Sungai Soi, di sini yang 'memanfaatkan' cuaca panas dengan menghasilkan rokok daun memandangkan proses menjemur bagi mengeringkan daun nipah dapat dilakukan dengan cepat.
Ini menyebabkan beliau dan dua lagi rakannya, Itam Awang, 50, dan Surina Ahmad, 31, mendirikan pondok sementara di kawasan belukar itu siap dilengkapi dapur kayu, tilam dan kelambu supaya mereka dapat 'bekerja sepenuh masa menghasilkan rokok daun'.
Tempat yang sesuai
Tik, yang turut membawa dua cucunya masing-masing berusia empat tahun dan dua tahun ke pondok itu, berkata mereka mengguna air telaga untuk mandi dan membasuh, manakala air bagi tujuan memasak dan minum dibawa dari luar.
"Mudah tinggal di sini kerana awal pagi sudah boleh mencari daun nipah di kawasan sungai. Minyak motor juga jimat kerana tidak perlu berulang-alik," katanya.
Kebiasannya Tik akan masuk ke kawasan sungai yang terletak kira-kira 50 meter dari pondok mereka sekitar pukul 7.00 pagi bagi mencari daun nipah dan akan keluar selepas mendapat satu atau dua 'berkas' daun berkenaan.
Proses selupat biasanya akan siap dilakukan sekitar pukul 10.00 pagi dan hasilnya akan dihampar di atas tanah untuk dijemur dari pukul 1.00-2.00 petang.
Itam pula memberitahu bahawa daun yang sudah kering akan dikumpulkan dan diikat sebelum dijual kepada peraih yang datang dari Nenasi, Pekan pada harga antara RM4.50 hingga RM6.00 seikat.
Pendapatan lebih
"Selalunya kami boleh peroleh antara RM700 hingga RM800 untuk tempoh dua minggu. Lebih mahal daripada menoreh getah dahulu yang hanya dibayar RM2.80 untuk sekilogram," katanya.
Kerja menghasilkan rokok daun akan diteruskan sehingga tamat musim panas kerana kerja itu tidak sesuai dilakukan pada musim hujan kerana 'ia akan menghasilkan daun berkualiti rendah'.
"Jika cuaca tidak terik, daun nipah akan berwarna agak merah-kemerahan atau akan kering dalam keadaan bergulung-gulung. Tidak cantik (keadaannya) dan peraih selalunya tidak mahu beli," katanya.
Sementara itu, Surinah berkata kerja menghasilkan rokok daun nipah tidak semudah yang dilihat kerana mereka perlu berhati-hati semasa berada di kawasan berselut di sungai itu kerana bimbang dengan kehadiran haiwan berbisa khususnya ular dan tebuan.
Malahan membawa daun nipah segar juga memerlukan kekuatan tenaga kerana lazimnya ia dibawa dalam kuantiti yang banyak manakala proses selupat berisiko menyebabkan tapak jari terluka apabila 'dihiris' daun semasa proses mencarik.
Bebas dan tidak terikat
"Ini bukti kerja keras kami," katanya sambil menunjukkan bekas-bekas luka yang sudah sembuh di tapak tangannya dan menambah, mereka juga 'berperang dengan nyamuk' pada waktu malam.
Surinah yang pernah bekerja di sebuah kilang sebelum ini bagaimanapun mengakui bahawa dirinya lebih berminat menghasilkan rokok daun nipah, kerana masanya lebih bebas dan tidak terikat dengan peraturan.
"Hidup begini juga mudah. Hanya bawa beras. Biasanya kami pancing ikan di sungai atau mencari lokan, ketam dan siput sebagai lauk manakala sayur akan dikutip dari kawasan sekitar. Jika jemu, baharu kami keluar membeli," katanya.
Menurut Surinah lagi, permukaan keras daun nipah tidak akan dibuang, sebaliknya dikering dan dihimpun di penjuru pondok sebelum dialas dengan tikar bagi dijadikan 'tilam'.
"Ada tilam baru tidak sakit belakang. Jika sudah tidak sedap (nipis), kami boleh buang dan tambah daun lain... dan siaplah tilam baharu," katanya.
- Bernama

