Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said menafikan dakwaan wujudnya komplot untuk menukar Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Dalam twitternya, beliau berkata: "Isu penukaran MB Johor tidak pernah berbangkit.”

“MB Johor bukan seperti mantan MB Kedah,” katanya merujuk kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang terpaksa melepaskan jawatannya sebagai menteri besar Kedah.

Azalina mengulas tulisan di laman Facebook Shukur Mohamad - anak kepada Speaker DUN Johor Tan Sri Mohamad Aziz yang mendakwa gerakan itu diketuai oleh seorang timbalan menteri.

"Ada satu gerakan yang sedang dibuat oleh seorang timbalan menteri untuk mencantas menteri besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Gerakan ini kononnya hendak meletak timbalan menteri ini menjadi menteri besar Johor bagi pihak (Datuk Seri) Najib Razak menjaga dan mengekang ahli Umno Johor," tulisnya.

Selain itu, dalam tulisan berlainan di Facebook, beliau juga mendakwa selain ingin menukar menteri besar, gerakan itu juga merancang untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua Umno bahagian Pagoh.

Pada 3 Februari lalu, selepas pergolakan politik selama dua minggu di Kedah, Mukhriz meletak jawatan selepas dimaklumkan oleh Majlis Pemangku Raja Kedah bahawa beliau hilang keyakinan majoriti ADUN negeri itu.

Sejak itu, Mukhriz bersama bapanya, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan secara terbuka mengkritik perdana menteri.

Kedua-dua mereka juga menandatangani Deklarasi Rakyat yang menuntut penyingkiran Najib.

[Baca berita penuh]