Badan Pencegah Rasuah (BPR) perlu menyiasat pemimpin-pemimpin Umno Sabah yang memiliki rumah mewah bagi menghilangkan tandatanya dan keraguan orang ramai, terutama rakyat Sabah, mengenai sumber kewangan mereka, kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Saidatul Badru Said Keruak.

Jika tidak, katanya, masyarakat akan mempersoalkan dari mana pemimpin politik tersebut mendapat wang untuk membina rumah mewah.

Manakala pemimpin Umno terbabit tidak perlu takut jika mereka mempunyai sumber kewangan yang cukup melalui saluran yang betul untuk membina rumah tersebut, tambahnya.

"Kita mahu BPR menyiasat kerana rakyat mahu tahu adakah mereka mendapat sumber kewangan yang betul Selain itu ia juga dapat membersihkan nama mereka daripada pelbagai tuduhan orang ramai mengenai rumah mewah mereka itu," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan semalam bahawa tiga pemimpin Umno Sabah memiliki rumah mewah yang menimbulkan tandatanya di kalangan masyarakat di negeri tersebut.

Mereka ialah Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Setiausaha Umno negeri, Datuk Yahya Husin; Menteri Pertanian negeri yang juga Ketua Penerangan Umno, Datuk Abdul Rahim Ismail dan Pembantu Menteri Pelancongan negeri yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Kimanis Datuk Karim Bujang yang dilaporkan memiliki rumah mewah di kawasan Petagas, Kota Kinabalu

Laporan lamanweb tempatan, Malaysia Today mendakwa Abdul Rahim dan Karim memiliki rumah berharga RM8 juta dan Yahya mempunyai rumah berharga RM7 juta.

Kemampuan bayar balik

Ketika dihubungi malaysiakini semalam, ketiga-tiga mereka bagaimanapun, menyifatkan dakwaan tersebut sebagai fitnah dan menyatakan harga rumah mereka tidak seperti yang dilaporkan oleh Malaysia Today .

Menurut Saidatul Badru, walapun mereka mendakwa mendapat pinjaman bank untuk membina rumah tersebut, persoalannya adakah mereka mampu membayar balik pinjaman sebanyak itu.

Beliau berkata, ketiga-tiga mereka bukanlah berasal dari keluarga yang kaya raya dan mereka juga baru melibatkan diri dalam politik Sabah.

"Mereka merupakan bekas kakitangan kerajaan dan menyertai politik Usno pada pertengahan 80-an semasa ia dipimpin oleh Allayarham Tun Datu Mustapa Datu Harun.

"Nama mereka naik mendadak dalam politik negeri itu apabila Umno menjadi pemerintah selepas kejatuhan Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada pilihanraya negeri 1994," katanya.

Beliau berkata, Yahya merupakan seorang pegawai polis berpangkat Penolong Penguasa Polis (ASP). Selepas berhenti dari perkhidmatan awam, beliau menubuhkan firma guaman dengan seorang rakannya di Kota Kinabalu.

Manakala Abdul Rahim adalah bekas seorang pegawai Jabatan Perhutanan Sabah. Pembantu Menteri Pelancongan Sabah, Karim adalah bekas pegawai kerajaan Sabah.

Saidatul Badru adalah anak perempuan kepada Tun Said Keruak, bekas Presiden Usno dari tahun 1975 hingga 1982 sebelum digantikan dengan Tun Datu Mustapa. Usno dibubarkan pada 1991 untuk memberi laluan kepada Umno untuk bertapak di Sabah.

Tidak perlu takut

Bagaimanapun, kata Saidatul Badru lagi, jika mahu dibandingkan antara ketiga-tiga mereka, rumah Yahya yang paling mewah dan paling besar.

Abdul Rahim dan Karim sendiri mengakui gambar rumah yang disiarkan dalam lamanweb tempatan itu adalah rumah mereka.

"Jadi orang mempersoalkan bagaimana mereka boleh membina rumah mewah tersebut? Kalau gajinya RM15,000 sebulan, adakah cukup untuk beliau berbuat demikian?" katanya yang pernah pergi ke rumah Abdul Rahim di Petagas.

Semalam malaysiakini melaporkan kenyataan Karim yang meminta rakyat Sabah yang tidak berpuashati membuat laporan kepada pihak berkuasa menyiasat pemimpin mereka.

Beliau berkata, jika mereka mengesyaki pemimpin mereka terlibat dengan pemilikan harta secara haram, mereka boleh membuat laporan kepada BPR.

Oleh itu, tegasnya, biarlah pihak berkuasa, terutama BPR menyiasat dan jika ada bukti mengheret mereka ke muka pengadilan.