MP BN cadang jadikan AG pengerusi Majlis Peguam
Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk meminda Akta Profesion Undang-undang supaya membolehkan Peguam Negara menjadi Pengerusi Majlis Peguam, secara automatik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan oleh Nasrun Mansor (BN-Silam) pada ucapan penggulungannya semasa perbahasan rang undang-undang Profesion Undang-Undang (Pindaan).
"Saya ingin ulas cadangan yang dikemukakan (ahli parlimen) Silam. Beliau mencadangkan AG dilantik sebagai pengerusi Majlis Peguam.
"Buat masa ini, pengerusi Majlis Peguam dipilih melalui undi. Jika cadangan itu diterima, maka kita perlu meminda Akta 166 (Akta Profesion Undang-Undang).
"Ini perlu dibincangkan secara mendalam. Kerajaan akan melihat dengan teliti dan mengemukakannya kepada pihak-pihak berkaitan," katanya.
Terdahulu, Nasrun berkata sudah tiba masanya bagi kerajaan meminda undang-undang supaya Peguam Negara boleh dilantik sebagai Pengerusi Majlis Peguam secara automatik.
Katanya, Majlis Peguam telah tersimpang jauh dengan ancaman untuk mencabar keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali di mahkamah.
Beliau menuntut majlis itu supaya tidak berpolitik, kekal bebas, profesional dan berhenti daripada mengeluarkan kenyataan politik.

