Pengarah Strategik Komunikasi BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan hari ini menyerang balas kembali kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung pembelian Taman Manggis.

Menurut Abdul Rahman, beliau hairan apabila Lim selaku ketua menteri tidak tahu tentang prosedur Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, sekiranya penukaran milikan saham dibuat, nama pemilik saham yang baru tidak akan bertukar dengan serta merta.

"Saya nak ingatkan bahawa update dalam SSM tak akan berlaku bila hari ini saham tukar tangan, esok SSM akan update dalam sistem mereka.

"Kita tahu sistem tidak akan update lagi walaupun membuat pemeriksaan pada hari ini (hari yang sama)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Parlimen hari ini.

Selain itu, mengenai kenyataan Lim yang berkata pihak kerajaan negeri tidak tahu tentang isu saham syarikat pemilik hartanah itu dijual kepada pihak ketiga, Abdul Rahman berkata perkara itu tidak sepatutnya diajukan kepadanya.

"Faktanya, perjanjian telah ditandatangan dan dicop (stamp). Bagi saya persoalannya, kerajaan Pulau Pinang mesti menidakkan atau beri kenyataan bahawa perjanjian itu tak wujud.

"Soal pertukaran tangan dan bagaimana saya tahu RM70 juta telah dibayar tak sepatutnya ditanya pada saya," katanya.

[Berita penuh menyusul]