Malaysian Today bingung khabar angin wujud perjanjian dengan MSN
Malaysian Today
(MT), sebuah akhbar dari Sarawak yang diterbitkan semula sebagai tabloid sukan dua kali seminggu, akan mula diedarkan pada 1 Mac ini, di tengah-tengah penyebaran khabar angin yang mendakwa ia menerima RM500,000 sebulan daripada Kementerian Belia dan Sukan.
Malaysian Today
(MT), sebuah akhbar dari Sarawak yang diterbitkan semula sebagai tabloid sukan dua kali seminggu, akan mula diedarkan pada 1 Mac ini, di tengah-tengah penyebaran khabar angin yang mendakwa ia menerima RM500,000 sebulan daripada Kementerian Belia dan Sukan.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif tabloid itu, Jessie Soon (kiri) serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Azalina Othman Said sebelum ini, telah menafikan khabar angin itu, dan sebaliknya berkata perbincangan mengenainya masih lagi berjalan.
Perbincangan tersebut, termasuk menyelesaikan butiran kos bagi halaman keluar khas dan ruang iklan yang akan diambil oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) dan kementerian berkenaan dalam tabloid tersebut yang didedikasi sepenuhnya kepada kemajuan sukan tanahair dan antarabangsa.
Soon dan Azalina telah menafikan khabar angin tersebut dalam satu satu sidang akhbar selepas majlis pelancaran tabloid tersebut pada 3 Februari lalu di Kuala Lumpur.
Ketika dihubungi sekali lagi semalam, Soon, yang baru kembali ke tanahair selepas lama tinggal di luar negara, berkata, beliau 'bingung' mengapa perkara itu telah dijadikan satu isu.
"Kami tidak dibiayai. Tiada sebarang perjanjian bertulis antara (MT) dengan pihak kerajaan. Kami hanya mengadakan perbincangan mengenai bagaimana akhbar ini boleh dimanfaatkan untuk faedah sukan negara," tambahnya.
Selepas diberi kepercayaan oleh bapanya seorang ahli perniagaan dan ahli politik, Datuk Sng Chee Hua Soon telah menjadikan akhbar tersebut yang sebeum ini diterbit dan diedarkan di Malaysia Timur, sebagai sebuah tabloid sukan.
Wang rakyat
Sementara hasrat Soon untuk memberi tumpuan kepada perkembangan sukan tanahair dialu-alukan, tetapi ada pula pihak yang mempersoalkan justifikasi pihak kementerian untuk membiayai penerbitan tabloid tersebut.
Sumber-sumber mendakwa bahawa wang kerajaan telah digunakan sebagai modal penerbitan semula dan gran pelancaran tabloid tersebut. Jumlah itu akan dikurangkan apabila MT mula memperolehi pendapatan daripada jualan iklan.
Enam puluh peratus daripada 110,000 nashkah tabloid tersebut yang diterbitkan pada hari Selasa dan Jumaat akan diedarkan kepada kolej dan universiti di seluruh negara secara percuma.
Manakala baki 35 peratus lagi edarannya akan dijual kepada orang ramai di Semenanjung Malaysia dan di Malaysia Timur pada harga 50 sen senashkah.
Soon berkata pihaknya baru berbincang mengenai bagaimanakah tabloid tersebut dapat bekerjasama dengan MSN dan pihak kementerian berkenaan untuk memajukan memajukan sukan tanahair.
Menurutnya, keluaran khas yang mungkin diambil oleh MSN itu akan dikenakan bayaran mengikut jadual bila ianya diterbitkan.
Jumlah belum diputuskan
Kementerian terbabit dan Soon sendiri tidak mahu menyatakan secara khusus berapakah kos yang terbabit untuk menerbitkan keluaran khas itu nanti
Sebuah akhbar tempatan melaporkan Azalina yang juga pengerusi MSN tetap mengelak menyentuh perkara tersebut ketika ditanya mengenainya Selasa lalu dengan menyatakan perjanjian antara kedua belah pihak terbabit sedang didraf dan jumlahnya tidak diputuskan lagi.
Usaha untuk mendapatkan maklumat daripada pihak MSN atau Azalina mengenai peruntukan perbelanjaan iklan bagi majlis tersebut untuk tahun ini, juga tidak berjaya.
Apabila ditanya mengenai kos untuk keluaran khas dan kadar bayaran iklan dalam MT, Soon berkata, ianya ditentukan mengikut kes-kesnya.
Kadar iklannya ialah dari RM660 dan sehingga RM65,000 untuk satu muka penuh warna. Ketua Pengarah MSN, Datuk Wira Mazlan Ahmad juga tidak dapat dihubungi.

