Tukar MB perkara karut, buang masa - Pemuda Umno Johor
Pemuda Umno Johor menegaskan sebarang gerakan untuk menukar Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin adalah perkara yang 'mengarut dan membazir masa'.
Sebaliknya, ketuanya Hahasrin Hashim menegaskan sayap parti itu di Johor tetap berdiri teguh di belakang kepimpinan Khaled.
“Kami dari Pergerakan Pemuda Umno Johor ingin menegaskan bahawa sebarang gerakan bagi menukar menteri besar Johor adalah satu perkara yang mengarut dan membazir masa.
“Kami pergerakan pemuda Umno Johor tetap teguh bersama-sama menteri besar yang juga merangkap pengerusi badan perhubungan Umno negeri, dalam menepis sebarang gerakan atau khabar angin yang sepertinya pukat terlabuh, ikan tak dapat,” kata Hahasrin dalam kenyataan kepada Malaysiakini.
Semalam Malaysiakini melaporkan terdapat desas-desus bahawa Johor akan menjadi negeri seterusnya membuat penukaran menteri besarnya.
Ia berdasarkan coretan di laman Facebook oleh Shukur Mohamad - anak kepada Speaker DUN Johor Tan Sri Mohamad Aziz yang mendakwa terdapat gerakan untuk menukar Khaled sebagai menteri besar.
Shukor dilaporkan turut mendakwa gerakan itu diketuai seorang timbalan menteri yang namanya tidak didedahkan.
Mengulas lanjut Hahasrin berkata, banyak perkara hebat dilakukan pentadbiran Khaled apabila Johor terus melangkah maju dengan hasil pendapatan ekonomi yang progresif.
Hahasrin berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor misalnya menunjukkan pertumbuhan pada kadar 6.5 peratus dengan nilai RM 93.7 billion pada tahun 2014.
Malah, katanya, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor itu juga banyak merancang program untuk kesejahteraan rakyat Johor.
“Ini dapat dilihat menerusi titik sentuh di bawah Pelan Suara Hati Johor, Pelan Pertumbuhan Ekonomi Johor dan bajet tahunan yang dibentangkan dan terbukti mengikut kehendak dan keperluan rakyat,” tambah Hahasrin.

