Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata tindakan mana-mana pihak yang mahu menyingkirkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin sebagai tidak berasas dan 'membazirkan masa'.

Bahkan Hishammuddin yang juga ketua Umno bahagian Sembrong berkata, beliau memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Khaled sebagai menteri besar.

"Saya tengok tak sepatutnya menjadi isu (tukar menteri besar) kerana kepimpinan Khaled Nordin di peringkat kerajaan negeri dan badan perhubungan Umno BN saya tengok berjalan baik dan membanggakan.

"Jadi kalau ada mana-mana pihak cuba menidakkan dan memperlekehkan Johor dan kepimpinan Johor, saya nak nyatakan mereka tak ada asas dan membazir masa.

"Saya secara peribadi memberi sokongan tak berbelah-bahagi kepada Datuk Seri Khaled Nordin," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini.

Ditanya mengenai terdapat gerakan untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua Umno bahagian Pagoh, menteri pertahanan itu berkata, perkara itu merupakan hak ahli Umno di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, sekiranya ia mengenai jawatan di peringkat parti perkara itu perlu diputuskan melalui Majlis Tertinggi Umno.

"Itu bukan hak dan preogatif kita. Kalau ada apa-apa tindakan di bahagian, itu hak ahli-ahli Umno di Pagoh. Sekiranya kedudukan ketua bahagian di peringkat parti, itu kena diputuskan Majlis Tertinggi.

"Jadi (kalau) kita nak habiskan masa dengan polemik dengan perkara bukan tanggungjawab dan hak kita, saya tengok membazir masa sebab kita nak tengok ke hadapan.

"Yang penting rapatkan barisan dan selesaikan perkara yang rakyat nak tahu berbanding bercakaran sesama kita dalam parti," katanya.

Pegang muafakat Johor

Sementara itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata isu penukaran menteri besar tidak wujud di negeri berkenaan.

Malah Razali yang merupakan ketua Umno bahagian Muar berkata, beliau bersama seluruh anggota kawasannya turut memberi sokongan penuh terhadap Khaled.

"Kita di Johor berpegang muafakat Johor.

"Kita bagi sokongan penuh pada menteri besar kerana untuk menumpukan mengenai prestasi serta jaga kepentingan rakyat dan bersiap hadapi pilihan raya.

"Kita di Johor tak penah diajar melakukan perkara seumpama ini," katanya.

Selain itu ditanya sama ada beliau mengetahui tentang dakwaan gerakan menyingkirkan Muhyiddin sebagai ketua Umno Pagoh, Razali meminta individu yang membuat dakwaan itu mengemukakan bukti.

"Kalau betul benda itu wujud sudah tentu ada banyak bukti. Zaman sekarang mana boleh simpan rahsia lagi.

"Kalau betul ada (gerakan), tunjuk sahaja atau rakam kalau betul perkara tersebut. Selagi perkara itu tidak wujud, jangan layan," tegas Razali.