Tiada maklumat hubungan Ezam dgn gerila pemisah: Najib
Kementerian Pertahanan tidak mempunyai maklumat berhubung penglibatan Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor dengan gerila pemisah di sebuah negara jiran.
Minggu lalu Ezam ditahan selama dua tahun di kem Kamunting, Perak dengan alasan cuba mendapatkan bantuan kumpulan gerila dan mencederakan pemimpin tertentu negara ini. Perintah tahanan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadapnya bagaimanapun tidak menamakan negara tersebut.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Razak berkata, perintah tahanan lanjutan adalah hak prerogatif polis dan KDN.
"Saya tidak berhak mengulas perkara ini. Sebagai wartawan, awak patut bertanya pihak berkuasa berkenaan ISA," katanya kepada wartawan, selepas menyampaikan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada angkatan tentera di kementerian itu hari ini.
Selain Ezam, Naib Presiden Tian Chua, ahli jawatankuasa pusat parti itu Saari Sungib dan penulis malaysiakini Hishamuddin Rais turut dibawa ke kem itu Sabtu lalu selepas tamat tempoh siasatan dua bulan. Mereka ditahan sejak 10 April dengan dakwaan cuba menggunakan "cara-cara militan, termasuk pelancar bom serta bahan letupan, dan menjalankan demonstrasi besar-besaran bagi menggulingkan kerajaan."
Ezam juga didakwa mengadakan lima pertemuan sulit dengan kumpulan asing itu di beberapa tempat, termasuk London.
Perintah tahanan lanjut Ketua Pemuda itu di bawah seksyen 8 (1) Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menyenaraikan enam lagi alasan.
Menurut kertas alasan itu lagi, satu salinannya diperolehi malaysiakini , pertemuan itu diadakan awal tahun hingga Mei tahun lalu.
Alasan-alasan itu setebal lima halaman dikeluarkan di bawah seksyen 11 (2) (b) ISA oleh Penolong Setiausaha KDN, Mohd Jamalludin Kasbi. Perintah tahanan, yang dilampirkan bersama tujuh alasan tersebut, ditandatangani Menteri Dalam Negeri pada 2 Jun lalu.

