AirAsia Berhad sedang meneliti aduan seorang warganegara Pakistan yang mendakwa menemui cicak mati dalam nasi lemak yang dijual dalam penerbangannya.

Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, mereka sedang meneliti perkara itu dengan serius dan sudah memulakan siasatan terhadap aduan itu.

Mereka bagaimanapun kesal tetamu itu tidak menyerahkan bungkusan makanan itu dengan segera bagi membolehkannya menyiasat segera sebab atau sumber dakwaan pencemaran itu.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada laporan Malaysiakini berhubung dakwaan Waseem Abbas, 27, hari ini yang mengambil penerbangan Kuala Lumpur-Kuching pada 27 Mac lalu.

AirAsia berkata pihaknya sedang berhubung dengan Waseem bagi menentukan fakta kes.

Berhubung dakwaan keracunan makanan, AirAsia berkata akan membantu perbelanjaan Waseem dan sedang menunggu laporan perubatan dan resitnya.

AirAsia menegaskan penyedia makanannya mempunyai sijil ISO 22000:2005 daripada SGC United Kingdom, sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sijil MeSTI Kementerian Kesihatan dan status Gred A Premis Bersih dari Majlis Daerah Kuala Selangor.

“Walaupun ini kes terpencil, kami memandang laporan ini dengan serius dan akan meningkatkan kawal selia sewajarnya,” katanya.

[Baca berita asal]