Speaker: Laporan PAC berkaitan 1MDB boleh dibincang sesi depan
Anggota Parlimen boleh mengutarakan isu berbangkit mengenai laporan akhir Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, seperti juga laporan Ketua Audit Negara, mana-mana anggota Parlimen yang tidak berpuas hati terhadap laporan boleh membangkitkannya dalam persidangan akan datang memandangkan sesi sidang kali ini berakhir hari ini.
Dewan Rakyat dijadual bersidang lagi pada 16 Mei depan.
"PAC telah jalankan tugas mereka, jadi kini terserah kepada majlis (anggota Parlimen) untuk mempertimbangkan apa yang telah dilaporkan.
"Itu cuma dia (PAC) bentang. Kalau ada MP nak bangkit isu mereka boleh bangkit di persidangan akan datang, tidak semestinya pada persidangan ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
PAC hari ini membentangkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB di Dewan Rakyat.
Ditanya apakah perlu satu persidangan khas untuk membahaskan laporan tersebut, Pandikar Amin berkata ia tidak perlu.
"Tidak wujud perkara seperti perbahasan khas. Perbahasan khas di bawah peraturan 18. Ini merupakan perkara yang sedang berlaku. Bila PAC dah bentang, sesiapa sahaja boleh buat kenyataan dan diberitakan, dan ia tidak menyalahi undang-undang," katanya.
- Bernama

