Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim mendakwa Datuk Seri Najib Razak menolak penilaian semula aset-aset dalam usahasama 1MDB- PetroSaudi International (PSI) walaupun kebimbangan itu diketengahkan oleh lembaga pengarahnya.

Perkara itu dinyatakan dalam laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang merujuk kepada kedudukan Najib sebagai pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Selanjutnya, Lembaga Pengarah 1MDB telah mengarahkan ketua pegawai eksekutif 1MDB menyediakan kertas ringkasan komprehensif kepada pengerusi Lembaga Penasihat yang mengandungi kronologi peristiwa berkaitan perjanjian usaha sama, status pembiayaan dan ketidakpuasan hati Lembaga Pengarah 1MDB terhadap laporan penilaian aset PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.

“Bagaimanapun, semasa mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB pada 7 November 2009, Encik Shahrol Azral memaklumkan penilaian kedua tidak perlu dibuat terhadap aset syarikat usaha sama tersebut kerana pengerusi Lembaga Penasihat tidak bersetuju dengan cadangan ini, tetapi mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB melantik sebuah syarikat perundingan bagi menilai pemilikan syarikat usaha sama.

“Namun demikian, semakan JAN (Jabatan Audit Negara) mendapati tiada dokumen yang dapat membuktikan pelantikan perunding tersebut telah dibuat,” menurut laporan itu.

Akhirnya 1MDB menandatangani perjanjian kerjasama tanpa pengetahui secara pasti sama ada PSI dipertanggungjawabkan pada aset tersebut.

Sebaik saja 1MDB menandatangani perjanjian itu pada 28 September 2009, ia dikehendaki mendeposit bahagiannya secara tunai bernilai AS$1 bilion dalam tempoh dua hari ke PetroSaudi Ltd - yang kemudian dilakukan seperti diperlukan.

Bagaimanapun laporan PAC mendapati hanya AS$300 juta dimasukkan ke akaun berkenaan dan ia diluluskan Bank Negara, manakala AS$700 juta lagi dipindahkan tanpa kebenaran kepada Good Star Ltd.

CEO diarah beri taklimat kepada Najib

Kecewa dengan perkembangan itu the Lembaga Pengarah 1MDB mengadakan mesyuarat pada 10 Oktober 2009, selain mengarahkan Najib dimaklumkan mengenainya.

"Lembaga Pengarah 1MDB meminta ketua pegawai eksekutifnya menyediakan taklimat komprehensif untuk pengerusi lembaga penasihat mengenai krononogi yang membawa kepada kerjasama itu status kewangan dan rasa tidak puas hati lembaga pengarah 1MDB terhadap aset PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd," kata laporan itu.

Namun laporan PAC menyatakan JAN tidak menemui bukti hal itu dirujuk secara bertulis kepada Najib.

Laporan itu juga menyatakan perjanjian kerjasama itu terhasil melalui sepucuk surat daripada "Putera Turki" bertarikh 28 Ogos 2009 yang dihantar kepada Najib.

Surat itu memperkenalkan Ketua Pegawai Eksekutif PSI Tarek Obaid kepada Najib yang kemudian memanjangkannya kepada 1MDB.

Laporan PAC juga menyatakan beberapa amaran dibangkitkan menjelang serta sejurus selepas perjanjian itu ditandatagani.

Sebagai contoh, laporan PAC menyebut kerjasama 1MDB sepatutnya dilakukan bersama PSI tetapi kemudian ia ditandatangi dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.

Kemudian laporan itu menyebut PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd serta 1MDB PetroSaudi Ltd ditubuhkan hanya 10 hari sebelum perjanjian ditandatangani.

Apabila penilaian aset dibuat, yang ditemui adalah aset PSI dan bukan PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd.

Persoalan pinjaman AS$700 juta

Turut diakui 1MDB PetroSaudi Ltd mengambil pinjaman bernilai AS$700 juta daripada PetroSaudi Holdings (Cayman) Ltd pada 25 September 2009 atau tiga hari sebelum perjanjian ditandatangani.

"Kewujudan pinjaman awal bernilai AS$700 juta ini yang perlu dibayar dalam tempoh lima hari menimbulkan tanda tanya.

"Semakan JAN tidak menemui sebarang minit atau dokumen menunjukkan lembaga pengarah 1MDB dimaklumkan mengenai pindaman pendahuuan AS$700 juta sebelum kerjasama itu ditandatangani," kata laporan berkenaan.

Pemindahan AS$700 juta kepada Good Star Ltd daripada AS$1 bilion yang sepatutnya disuntik ke 1MDB PetroSaudi Ltd berlaku lima hari kemudian.

Laporan PAC menyatakan Shahrol mendakwa Good Star Ltd adalah anak syarikat kumpulan PetroSaudi.

Inti pati penemuan PAC konsisten dengan pendedahan Sarawak Report berdasarkan data dibocorkan bekas kakitangan PetroSaudi International, Xavier Andre Justo sejak Februari tahun lalu.

Sejak pendedahan itu bertegas mendakwa portal berkenaan adalah rekaan.

Sarawak Report pula mendakwa Good Star Ltd yang berpangkalan di Seychelles dimiliki secara tunggal oleh hartawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low.

Jho Low menafikan sebarang pembabitan dalam 1MDB atau mana-mana salah laku.