Dalam tempoh dua minggu selepas mencatatkan kejayaan yang memberangsangkan dalam pilihan raya negeri Sarawak 2011, DAP mula menggandakan usaha untuk menyebarkan pengaruhnya ke kawasan luar bandar di negeri itu.

Ketika itu, parti tersebut berjaya menggandakan jumlah kerusinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada enam kepada 12 kerusi, dan seterusnya menjadi parti pembangkang terbesar di Sarawak.

Sebahagian daripadanya mempunyai kaitan dengan kurang populariti Ketua Menteri Sarawak ketika itu, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di kawasan pusat-pusat bandar di Sarawak dan kawasan etnik majoriti Cina, yang menjadi pangkalan asas undi DAP.

Walaupun berterusan menafikannya, namun Taib diseret oleh dakwaan rasuah yang mencetuskan penolakan di kawasan berkenaan.

Sekarang, menjelang pilihan raya negeri, DAP melangkah ke wilayah yang belum diterokai dengan menghantar calon-calonnya ke kawasan luar bandar yang merupakan kerusi majoriti Dayak - yang kebanyakannya kawasan di mana parti itu tidak pernah bertanding sebelum ini.

Bagaimanapun, Taib telah meletak jawatan pada Februari 2014, dan digantikan oleh Tan Sri Adenan Satem yang lebih popular.

Menurut kajian yang dijalankan Merdeka Centre pada bulan April 2015, Adenan mempunyai kadar penerimaan yang tinggi mencapai 74 peratus, dan sentimen yang melampaui garis etnik dan sentimen bandar-luar bandar.

Oleh itu, timbul persoalan sama ada DAP boleh mempertahankan kubunya dalam usahanya untuk meraih hasil usahanya selama lima tahun berkempen di rumah panjang.

Penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Profesor Jayum Jawan memberitahu Malaysiakini bahawa sokongan terhadap DAP mungkin akan kekal, jika pun tidak bertambah baik.

"Majoriti masyarakat Cina akan terus menyokong DAP dalam pilihan raya negeri akan datang.

"Mereka masih tidak berpuas hati dengan parti pemerintah terutamanya disebabkan oleh apa yang mereka lihat sebagai kegagalan kepimpinan negeri untuk membuka lebih banyak peluang perniagaan yang terus dikuasai oleh segelintir individu dan kepentingan," katanya.

Kenyataan Jayum itu nampaknya disokong oleh penemuan kajiselidik yang dikeluarkan Merdeka Centre pada hari Rabu.

Hanya 41 peratus daripada pengundi Cina yang ditinjau, merasakan bahawa negeri ini menuju ke arah yang betul, berbanding dengan purata keseluruhan 55 peratus.

Sebaliknya, terdapat sedikit perbezaan antara responden bandar dan luar bandar yang ditinjau mengenai perkara itu, dan angka-angkanya hampir dengan purata.

Walau bagaimanapun, ia tidak jelas bagaimana sentimen ini akan diterjemahkan dalam bentuk undi.

Juga membantu keadaan DAP, kata Jayum, ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tidak mampu untuk menyuarakan kepentingan masyarakat Cina, dan sedang dilanda perbalahan kelompok dalaman.

Ini tidak baik bagi percubaan BN untuk memenangi semula pengundi Cina.

Bagaimanapun, Jayum percaya bahawa ia akan menjadi satu pembaziran sumber untuk DAP meneroka kawasan pedalaman Sarawak, kerana ia tidak akan dapat menembusi kerusi-kerusi tersebut.

Sementara itu, seorang lagi pemerhati politik, kurang yakin tetapi masih merasakan DAP akan dapat mempertahankan kedudukannya di kawasan bandar yang mempunyai majoriti masyarakat Cina.

Pengarah Institut Asia Universiti Tasmania, James Chin berpendapat masyarakat Cina masih curiga dengan Adenan.

Katanya, Ia tidak dinyatakan secara terbuka tetapi ramai merasakan Adenan tidak mempunyai penguasaan sepenuhnya dengan Taib sebagai yang dipertua negeri.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa DAP telah memenangi kerusi majoriti Cina dalam pilihan raya negeri yang lalu dengan majoriti yang begitu besar dan tidak mungkin parti itu boleh kalah di kerusi-kerusi berkenaan.

Mungkin, sebaliknya, margin kemenangan DAP boleh berkurangan.

Chin berkata, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan pada April tahun lepas juga merupakan satu topik hangat.

[Baca berita penuh]