Khutbah tolak dakwaan vaksin lemahkan umat Islam
Ekoran keraguan sama ada penggunaan vaksin mengikut syarak atau tidak, teks khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menekankan kepentingan amalan itu.
Menurut mimbar, ramai ulama bersetuju bahawa vaksin dibenarkan dalam Islam jika ia dibuktikan tidak boleh menyebabkan kemudaratan kepada tubuh badan.
“Tuduhan turut dilemparkan kepada kerajaan kononnya program ini (pengambilan vaksin) untuk melemahkan umat Islam dengan mendedahkan anak-anak dan masyarakat kita dengan kemungkinan dijangkiti penyakit-penyakit berbahaya yang boleh mengancam nyawa.
“Hakikatnya, imunisasi atau suntikan vaksin pelalian adalah bertujuan untuk menguatkan antibodi atau daya tahan badan manusia terhadap penyakit.
“Ia dapat melindungi diri daripada dijangkiti oleh patogen penyakit cegahan vaksin, mengelakkan diri daripada mendapat penyakit yang teruk dan komplikasi dari penyakit tersebut seperti campak, tibi, batuk kokol, difteria, tetanus atau polio,” kata teks khutbah itu.
Katanya lagi, ketika di zaman Rasulullah, baginda sendiri pernah melakukan rawatan bagi melihat punca penyakit dan kesesuaiannya dengan ubatnya.
Jelasnya lagi, di Malaysia, Program Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan telah dijalankan sejak 1950-an lagi bertujuan mencegah 12 jenis penyakit berjangkit disebabkan bakteria dan virus tertentu secara percuma di klinik kerajaan.
Hasilnya, kematian kanak-kanak telah menurun sebanyak 85 peratus bagi tempoh 1970 hingga 2000.
Selain itu, ia juga telah berjaya membasmi cacar dan polio di samping melindungi penerimanya dan menghalang penyebaran penyakit tersebut.
“Bukti saintifik telah membuktikan bahawa vaksin dan program imunisasi adalah satu intervensi kesihatan awam yang paling kos efektif.
“Imunisasi adalah satu pelaburan yang berharga untuk kesihatan generasi masa hadapan dan menjadi tanggungjawab masyarakat untuk memastikan semua anak-anak kita sihat.
“Kesihatan orang awam pada umumnya amat penting dan setiap individu mempunyai peranan penting dalam mengekalkannya,” kata teks itu.

