Pemuda PAS WP kesal kabinet arah saman Jawi dibatalkan
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membantah keras tindakan kabinet meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menarik balik dakwaan ke atas 100 umat Islam yang ditahan di disko Zouk, Jalan Ampang, 13 Januari lalu.
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan membantah keras tindakan kabinet meminta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menarik balik dakwaan ke atas 100 umat Islam yang ditahan di disko Zouk, Jalan Ampang, 13 Januari lalu.
Ketuanya, Riduan Mohamad Nor berkata, Jawi adalah sebuah organisasi yang sangat signifikan yang tidak perlu dipertikaikan dalam mengawal akhlak umat Islam negara ini.
"Jawi adalah satu-satunya badan penguatkuasa yang mampu membendung kemungkaran di Wilayah Persekutuan. Sesungguhnya maksiat dan aktiviti kemungkaran sudah terlalu banyak.
"Pelacuran, lumba haram, perzinaan, penagihan dadah, judi, arak, murtad dan sebagainya sudah menjadi satu budaya masyarakat kota. Premis hiburan begitu banyak terutama di Bukit Bintang, Bangsar dan Jalan Sultan Ismail," katanya dalam memorandum yang dihantar kepada Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdullah Md Zain di Putrajaya hari ini.
Memorandum tersebut diterima oleh Setiausaha Sulit Abdullah, Ahmad Suhaimi Rafie.
Islam Hadhari hanya 'gimik'
Riduan berkata, tindakan kabinet campur tangan dalam isu serbuan Jawi ini tidak selari dengan konsep Islam Hadhari seperti yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Menurutnya, adakah Islam Hadhari tajaan Umno menghalalkan segala yang haram, mengharamkan segala yang halal?
"Kita mempertikaikan kredebiliti Jabatan Perdana Menteri apabila mengambil tindakan menggesa Jawi menarik balik dakwaan yang telah dikeluarkan dengan membela pelaku maksiat yang terang-terang menghina dan menentang Islam.
"Justeru kita melihat Islam Hadhari tajaan Umno hanyalah gimik dan kosmetik bagi mengelabui mata rakyat," katanya.
Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Wilayah Persekutuan mencadangkan Jabatan Perdana Menteri memberi fokus utama terhadap usaha mencegah kemungkaran yang berlaku.
Kata Riduan ia boleh dilakukan dengan memberikan sepenuhnya kuasa kepada Jawi berdasarkan peruntukan undang-undang syariah untuk membasmi maksiat dan kemungkaran secara serius.
Beliau berkata, Jawi perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan memperhebatkan lagi rondaan dan serbuan ke atas 'premis maksiat' yang bercambah di negara ini.
Katanya, Jabatan Perdana Menteri perlu memberi peruntukan yang mencukupi kepada Jawi di dalam usaha mempertingkatkan penguatkuasaannya meliputi memberi lebih kuasa, kewangan, latihan dan prasarana.
Kaji semula
Menurutnya, kerajaan perlu membuat kajian semula undang-undang syariah yang sedia ada dengan memberikan hukuman yang lebih berat kepada pesalah jenayah syariah berdasarkan undang-undang al-Quran.
Beliau berkata, Jabatan Perdana Menteri bersifat lebih telus serta adil dan tidak menjadikan Jawi sebagai 'kuda tunggangan' dengan bentuk penguatkuasaan terpilih demi menjaga kepentingan orang tertentu.
Katanya lagi, Jabatan Perdana Menteri juga perlu memberi pembelaan yang sewajarnya kepada penguatkuasa Jawi yang kini menjadi sasaran kritikan termasuk yang dibuat oleh umat Islam sendiri.
Menurutnya, Jabatan Perdana Menteri perlu bertindak terhadap penguatkuasa Jawi yang didapati menyalahgunakan kuasa mereka.
Tindakan Jawi menyerbu disko Zouk dan menahan 100 pengunjung Islam telah dikritik hebat oleh pelbagai pihak termasuk Puteri Umno dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Berikutan itu mereka meminta Jawi menarik balik saman tersebut.

