Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan bahawa tindakan kerajaan Sarawak atau pihak Imigresen negeri menghalang kemasukan pemimpin parti politik atau mana-mana individu, merupakan hak mutlak kerajaan negeri dan hak pihak Imigresen Sarawak.

"Sekiranya ada mana-mana ahli parti politik atau individu telah atau akan dihalang daripada memasuki Negeri Sarawak semasa pilihan raya atau pada bila-bila masa, ini bukanlah dalam bidang kuasa pihak SPR." kata pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan hari ini

Beliau menjelaskan bahawa pengendalian hal-hal imigresen dalam negeri Sarawak adalah hak mutlak kerajaan negeri dan juga hak imigresen negeri.

SPR, katanya, tidak akan mencampuri bidang kuasa pihak berkuasa lain.

"(SPR) akan sentiasa menghormati segala tindakan pihak berkuasa lain dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing selaras dengan perundangan sedia ada," katanya.

Beliau mengulas kejadian pemimpin pembangkang dilarang masuk, dan, dalam beberapa kes, dihantar pulang dari Sarawak.

Awal hari ini, bekas pengerusi bersama BERSIH,Datuk S Ambiga berkata ia bertentangan dengan undang-undang untuk melarang seseorang daripada memasuki Sarawak jika orang yang pergi ke sana untuk menjalankan aktiviti politik.

[Baca berita penuh]