1MDB gegas pelaburan AS$1b dalam PSI untuk kerabat Saudi saksi pemeteraian
PAC 1M DB bergegas untuk membayar AS$1 bilion bagi mengadakan usaha sama dengan PetroSaudi International supaya seorang anggota kerabat diraja Saudi dapat menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu, kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Halmi.
Shahrol berkata demikian apabila disoal oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun lepas, tentang kenapa perjanjian itu dimaterai pada 28 September 2009, hanya 10 hari lepas kertas cadangan dibentang ke lembaga pengarah 1MDB.
Katanya, anggota keluarga diraja Saudi itu akan tiba di Kuala Lumpur pada sekitar masa tersebut untuk sebuah majlis tandatangan.
Oleh itu, katanya, memuktamadkan pelaburan itu menepati tarikh tersebut.
Lembaga pengarah 1MDB telah dimaklumkan mengenai cadangan usaha sama 1MDB-PetroSaudi pada 18 September 2009.
Lapan hari kemudian selepas mengadakan pertemuan dengan jutawan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low yang telah memberi gambaran kepada lembaga pengarah bahawa PSI dimiliki oleh Raja Saudi, maka lembaga pengarah meluluskan AS$1 bilion yang diminta itu untuk mengadakan usaha sama (JV) tersebut.
Usaha sama itu ditandatangani di Kuala Lumpur dua hari kemudian, pada 28 September, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Putera Turki dari Arab Saudi.
Kemudian, pada 30 September lalu, AS$1 bilion dipindahkan kepada syarikat 1MDB-Petrosaudi JV.
Tanpa pengetahuan lembaga pengarah, AS$700 juta disalurkan kepada di Good Star Ltd, firma yang tidak berkaitan kepada JV dan dikatakan dikawal oleh Low.
Sementara itu semasa pendengaran PAC pada 25 November tahun lepas, Pengerusi jawatankuasa tersebut, Datuk Hasan Arifin mengarahkan soalan tentang bagaimana 1MDB menentukan yang PSI milik Raja Abdullah Arab Saudi, tidak dirakam.
Hasan mengarahkan mikrofon ditutup kerana menurutnya, ia melibatkan keluarga diraja. Selepas itu, menurut Hansard, perbincangan disambung tanpa dirakam.
Ini diikuti dengan ulasan mengenai topik itu oleh Ahli Parlimen Putatan Marcus Mojigoh selepas mendengar penjelasan Shahrol.
Shahrol kemudiannya berkata tidak ada sebab untuk mempercayai bahawa PSI bukan dimiliki kerajaan Saudi.

