Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sanggup menyokong pelaksanaan hudud semata-mata mahu mendapatkan sokongan PAS, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dia sedia untuk menyokong apa yang dipanggil hudud, di mana kita penggal kepala orang, potong tangan mereka, rejam mereka batu hingga mati.

"Dia sedia menyokong itu semata-mata mahu sokongan mereka (parti Islam itu). Itulah Najib.

"Dia tidak peduli apa yang dia lakukan atau apa dasarnya, selagi dia dapat sokongan. Dan dia mahu sokongan dari PAS. Pemimpin PAS sedang berunding dengannya," kata Mahathir kepada The Australian .

Beliau juga memberi amaran bahawa Malaysia menjadi lebih konservatif di bawah Najib dan bukannya sederhana.

"(Najib) bukan seorang yang sederhana dalam erti kata itu. Dia mahu menjadi sederhana untuk dunia, tetapi dari segi dalam negara beliau bersetuju dengan yang melampau."

Najib dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelihatan ‘mesra’ antara satu sama lain sejak setahun lalu, dengan kedua-dua mereka juga berkongsi pentas sama dan berpakaian baju Melayu merah jambu yang sedondon.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan pernah berkata bahawa PAS menyerahkan kepada Putrajaya untuk melaksanakan agenda hudud di Parlimen.

[Baca berita penuh]