Gesa campur tangan asing: Mahathir terdesak, kata Nazri
Tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggesa campur tangan pihak luar untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai terdesak.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz juga berkata, tindakan Mahathir itu bukan sahaja bertentangan semasa beliau menjadi perdana menteri malah ia dilihat sebagai usaha demi kepentingan sendiri dan bukan untuk rakyat.
"Orang asing tidak akan boleh menjatuhkan kita. Saya rasa apa yang dilakukan ini bertentangan dengan apa beliau lakukan di masa lepas.
"Sekali lagi saya nak katakan ini satu usaha terdesak, desperado oleh beliau untuk memenuhi bukan satu perkara untuk rakyat tapi untuk memenuhi dendam kesumat dan hasad dengki pada perdana menteri," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Nazri berkata demikian sebagai mengulas soalan pemberita berhubung laporan akhbar The Australian yang melaporkan Mahathir menggesa campur tangan antarabangsa untuk membantu 'menjatuhkan' Najib.
Selain itu, Nazri yang adalah menteri kabinet sejak 2004 berkata, Mahathir juga sebelum ini pernah dikritik berhubung pentadbiran beliau oleh pihak asing namun masih kekal menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
"Saya masih ingat lagi semasa dia (Mahathir) menjadi perdana menteri, ada serangan terhadap pentadbiran beliau dan saya juga ketika itu dalam kabinet.
"Saya ingat lagi, ada banyak komentar yang dibuat oleh (pihak) Australia untuk merendahkan usaha kami tentang pelbagai perkara tetapi dia (Mahathir) bertahan selama 22 tahun.
"Jadi ia adalah satu pengajaran untuk kita semua yang kita, Malaysia, kita buat keputusan secara dalaman tentang apa yang kita hasratkan untuk berlaku pada kerajaan ini," katanya.
Mahathir sebelum ini dilaporkan menggesa campur tangan asing untuk menjatuhkan Najib.
Negarawan itu yang sebelum ini terkenal dengan ketegasannya menolak campur tangan asing dalam politik Malaysia semasa pentadbirannya berkata, perkara itu perlu dilakukan kerana saluran untuknya telah ditutup sepenuhnya.

