'Peguam Negara tak boleh ketuai Majlis Peguam'
Kerajaan Malaysia perlu menolak cadangan yang dibuat semasa perbahasan parlimen supaya Peguam Negara untuk mengetuai Majlis Peguam, kata Human Rights Watch hari ini.
Timbalan Pengarah, Human Rights Watch bagi Asia, Phil Robertson dalam satu kenyataan berkata, langkah itu perlu untuk memastikan kebebasan Badan Peguam Malaysia.
"Cadangan di parlimen untuk menjadikan kepimpinan Peguam Negara sebagai ketua Badan Peguam akan menutup mulut profesion undang-undang Malaysia, yang berada di barisan hadapan dalam mempertahankan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang di negara ini.
"Majlis Peguam perlu bebas untuk memilih pemimpin sendiri dan bertindak tanpa campur tangan kerajaan," kata Robertson sebagai tindak balas kepada cadangan Ahli Parlimen Silam, Nasrun Mansor supaya pindaan undang-undang dibuat untuk membenarkan Peguam Negara secara automatik dilantik sebagai pengerusi Majlis Peguam.
Nasrun pada 7 April lalu membuat cadangan itu sebagai reaksi kepada tindakan undang-undang Majlis Peguam terhadap keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang membebaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada sebarang dakwaan yang dikaitkan dengan dana milik negara 1MDB.
Sebagai tindak balas terhadap cadangan Nasrun itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata kerajaan akan mengkajinya dan berkata langkah itu memerlukan pindaan Akta Profesion Undang-Undang 1976.

