Universiti Teknikal Malaysia (Utem) akan mematuhi arahan polis dengan tidak akan menganjurkan forum menampilkan pendakwah Islam kontroversi, Zakir Naik.

Naib Canselornya, Prof Datuk Shahrin Sahib berkata, atas pertimbangan faktor-faktor keselamatan dan arahan pihak polis, pihaknya memutuskan untuk tidak menjadi hos program tersebut.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau menjelaskan pihaknya menghormati pandangan semua pihak walaupun mengakui bahawa keputusan pembatalan itu sesuatu yang sukar.

"Diakui pada saat ini, ia sesuatu yang sukar untuk diterima pada hari ini.

"Jawatankuasa dari semua agensi telah bertungkus lumus untuk mempertahankan kelangsungan program ini namun Allah sebaik-baik perancang.

"Ramai yang kecewa dan ada juga yang masih berharap ia dibuat di Dewan Besar UTeM. Namun kami percaya ada yang lebih baik menanti di masa hadapan. Kami hanya menurut arahan seperti yang diminta," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa yang sama, Shahrin berkata, Utem pada asalnya sekadar menjadi hos, bukan penganjur kepada acara tersebut, yang dijadualkan diadakan di kampus Utem Melaka pada 17 April ini.

"Sebagai pusat kecemerlangan pengetahuan, Utem berpandangan bahawa ianya program berpengetahuan yang baik.

"Utem terbabit sebagai hos, bukan sebagai penganjur."

Berdasarkan poster promosi forum berkenaan, Zakir dijadualkan menyampaikan syarahan bertajuk 'Kesaksamaan antara Hindu dan Islam'.

Zakir yang telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa oleh Yang Dipertuan Agong pada tahun 2013 kini berada di Terengganu bagi menghadiri beberapa acara atas jemputan Menteri Besar negeri itu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

MIC dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan India semalam membuat laporan polis ke atas Zakir sebagai bantahan kepada dakwaan kenyataan anti Hindu yang dibuat oleh beliau sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini telah mengarahkan pihak penganjur program Zakir untuk membatalkan acara tersebut bagi mengelakkan kekacauan dan melindungi sensitiviti agama di negara ini.

Pihak penganjur dipanggil ke Bukit Aman.