Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelar Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin lain kerana melanggar prinsip masing-masing dengan meminta campur tangan asing dalam urusan negara.

"Sekarang, saya tahu bahawa terdapat beberapa orang yang mahu anda berfikir bahawa ekonomi kita sedang menghadapi masalah.

"Malah ada yang mempunyai prinsip sendiri, mendesak campur tangan asing dan ada juga bijak pandai, memburuk-burukan Malaysia," katanya tanpa menamakan Mahathir.

" Sedangkan, mereka tahu bahawa pada dasarnya adalah mampan, termasuk fakta yang baru sahaja saya kemukakan kepada anda - ini tidak dapat dinafikan," kata Najib pada ucaptamanya di Invest Malaysia 2016.

Menurut Najib, golongan berkenaan mempunyai agenda dan kepentingan peribadi.

Ini, katanya, diletakkan mengatasi kepentingan negara.

"Bagi mereka, kerosakan ke atas negara hanya kolateral. Bagi mereka tindakan itu wajar," katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa rancangan kerajaan, termasuk enam Inisiatif Pembaharuan Strategik, 12 Kawasan Ekonomi Utama Negara (NKEA) daripada Program Transformasi Ekonomi masih sedang dijalankan.

"Kita boleh katakan dengan yakin, pelan ekonomi kita sedang berjalan," katanya.

Mahathir semalam menafikan bahawa beliau mencadangkan campur tangan asing untuk menggulingkan Najib.

"Saya tidak minta mana-mana kerajaan asing untuk campur tangan. Saya kata bahawa segala saluran untuk mencari penyelesaian dalam negara telah ditutup oleh Najib.

"Jadi, saya akan beritahu media asing tentang perkara ini," katanya.

Najib pada ucaptamanya juga berkata ringgit merupakan mata wang yang mencatat prestasi terbaik di Asia setakat ini tahun ini.

"Ini mungkin mengejutkan lawan politik saya, yang mendakwa jika saya terus menjadi perdana menteri, ringgit akan menyusut 4.80 kepada dolar. Kini (ringgit) mencatat 3.88 berbanding dolar," katanya.

Najib berkata mereka membuat pelbagai tuduhan liar, termasuk mengenai 1MDB.

Menurutnya, minggu lalu Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) membentangkan laporan mengenai IMDB di Parlimen, dan walaupun mengenal pasti kelemahan pengurusan dan struktur 1MDB, laporan itu turut membuktikan dakwaan kehilangan RM42 bilion, seperti didakwa sesetengah pihak, adalah palsu.

Beliau berkata yang jelas ada proses rasionalisasi yang berjalan lancar dengan hutang besar berjaya diselesaikan.

"Pada tahun-tahun mendatang, IMDB akan mencatat legasi sebenar dan akan diingati.

"Dan sejarah akan menunjukkan bahawa dakwaan memalukan yang bermotifkan poliitk dibuat bagi menumbangkan keajaan yang dipilih secara demokrasi, adalah palsu," katanya.

Najib berkata fakta membuktikan dakwaan itu salah, dan sudah sampai masanya untuk bergerak ke depan dan memberi tumpuan semula ke arah memperkukuh ekonomi Malaysia.

[Baca berita penuh]