Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

BELASUNGKAWA Tujuh belas tahun lalu ketika politik Malaysia sedang rusuh tidak berapa lama selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad, penulis dan sekumpulan mahasiswa pertama kalinya diperkenalkan dengan Said Zahari.

Bekas pengarang Utusan Melayu yang dipenjarakan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 17 tahun di Singapura itu dibawa untuk berkongsi pengalaman dengan sekumpulan mahasiswa dari beberapa universiti awam dan swasta di sebuah negeri di Selatan tanah air.

Pertama kali mendengar Said atau lebih mesra dengan panggilan Pak Said berbicara memukau hati kami. Tutur kata Pak Said lemah lembut tetapi pendiriannya tegas.

Pemikirannya tajam dan ingatannya kuat ketika menceritakan kepada kami tentang pengalaman hidupnya dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku sebelum dihalau keluar Tunku Abdul Rahman dari Malaya sehingga sebelum ditahan Lee Kuan Yew di Singapura.

Dan sudah pasti Pak Said berbicara tentang mogok bersejarah pekerja-pekerja Utusan Melayu pada 1961 menentang Umno pimpinan Tunku mengambil alih akhbar berbahasa Melayu itu.

Keberanian Pak Said memimpin mogok 115 pekerja akhbar Utusan Melayu selama hampir 100 hari dibayar dengan harga mahal.

Tunku menghalaunya keluar dan diharamkan masuk ke Malaya buat selama-lamanya pada September 1961.

'Menggangu' Pak Said

Pada Februari 1963, sehari selepas dinamakan sebagai ketua umum Parti Rakyat Singapura, Pak Said ditahan ISA dan menjadi tahanan politik.

Selepas pertemuan pertama dengan Pak Said pada 1999, hampir setiap tahun penulis dan beberapa rakan-rakan melawat bekas pengarang Utusan Melayu itu di rumahnya di Subang Jaya.

Masih teringat bagaimana lazatnya kuetiau masakan arwah isteri Pak Said, Mak Salamah yang meninggal dunia pada tahun 2004.

Mak Salamah melayan kami dengan penuh mesra ketika kami seringkali datang “menggangu” Pak Said. Al-Fatihah buat Mak Salamah.

Keakraban dengan Pak Said menyebabkan kami selesa berkongsi masalah dan “kemarahan” mengenai keadaan politik semasa pada ketika itu bersamanya.

Pak Said turut mengabadikan “kemarahan kami” dalam sebuah bab dalam bukunya yang bertajuk “Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari”.

Semalam semasa mendapat perkhabaran tentang pemergian Pak Said, tiada apa yang dapat penulis ungkapkan melainkan kesedihan semata-mata.

Terpengaruh

Penulis memilih untuk tidak ke pengebumian Pak Said di Subang Jaya semalam kerana masih tidak dapat menerima berita pemergiannya.

Kali terakhir penulis melawat Pak Said pada akhir tahun lepas di rumahnya di Shah Alam, Selangor. Pak Said pada ketika itu kelihatan begitu kurus dan dimamah usia.

Terima kasih Pak Said. Semoga kau damai di sana.

Kalau bukan kerana “terpengaruh” dengan Pak Said 17 tahun lalu, tidak mungkin penulis menulis pada hari ini dan terlibat dalam dunia kewartawanan.

Meminjam puisi Sasterawan Negara Datuk Usman Awang, “Salut untuk Said Zahari, Salut untuk mereka yang berani!”


AMIN ISKANDAR bekas pengarang berita The Malaysian Insider yang dihentikan operasinya bulan lalu.

Lihat Komen
ADS