Mahasiswa diminta supaya segera mendaftar sebagai pemilih sempena pilihan raya negeri Sarawak serta Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Pengerusi Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN) Azzan Aznan Abdul Rahim berkata, menurut statistik pada Januari tahun ini, seramai 4.2 juta belum mendaftar sebagai pemilih daripada 17.7 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi pada PRU 14.

Menurutnya lagi, daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang layak mengundi, 40 peratus daripadanya adalah pengundi muda.

Sehubungan itu, Azzan berkata, sekiranya pengundi muda tidak mendaftar sebagai pengundi, maka perubahan yang diidamkan tidak mungkin akan berlaku.

"Keadaan ini amat membimbangkan kerana tonggak masa depan negara adalah berada di tangan anak muda dan sekiranya mereka tidak mendaftar sebagai pengundi, maka perubahan yang diidamkan tiadalah lebih melainkan mimpi semata-mata," katanya dalam kenyataan medianya, hari ini.

Selain itu, Azzan juga memberitahu, KESATUAN dengan kerjasama pegawai pendaftar telah melancarkan kempen daftar mengundi yang dinamakan UndiSiswa di beberapa universiti di seluruh negara sejak Mac lalu.

Hasil daripada jelajah di Universiti Malaya (UM), Universiti Selangor (UNISEL), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapati masih ramai mahasiswa yang belum mendaftar sebagai pengundi, malah ada juga yang tidak peka dengan pilihan raya yang bakal berlangsung, katanya.

"Perkara itu dibuktikan apabila ratusan mahasiswa mendaftar sebaik sahaja kaunter di buka. Terdekat ini, kami akan membuka kaunter pendaftaran mengundi di USIM (Universiti Sains Islam Malaysia) pada 20 April ini," ujar Azzan.

Justeru, KESATUAN menyeru seluruh anak muda yang layak mengundi khususnya mahasiswa untuk mendaftar sebagai pemilih dengan segera malah mereka juga boleh ke pejabat pos atau mana-mana kaunter daftar mengundi untuk melunaskan tanggungjawab ini.