Kumpulan pendesak Melayu, PERKASA hari ini menyifatkan Timbalan Setiausaha Agung DAP, P Ramasamy sebagai bapa ‘syaitan dan iblis’.

Mereka mendakwa Ramasamy menghina Islam kerana menggelar Zakir Naik sebagai "setan" di Facebook sebelum ini, walaupun kemudiannya memadam perkataan itu.

Menurut ketua wira NGO itu, Irwan Fahmi Ideris ( gambar ), Ramasamy yang juga adalah timbalan ketua menteri Pulau Pinang tidak sepatutnya menghina agama majoriti rakyat negara ini.

“Dia (Ramasamy) itu siapa, iblis ke apa? Dia lebih kepada bapa syaitan dan iblis, tak guna punya orang bila sanggup hina agama Islam.

“Siapa dia dan apa agama yang dianutinya sehingga sanggup menghina agama lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini .

Menurut Irwan, meskipun Ramasamy kemudian memadamkan kenyataannya di Facebook selepas menggelar pendakwah Islam kontroversi, Dr Zakir Naik sebagai syaitan dan menyatakan kekesalannya sehari selepas itu, kelantangan pemimpin DAP itu boleh mendatangkan huru-hara.

Ramasamy juga berkata beliau kesal dengan tindakan itu.

“Walaupun beliau sudah meminta maaf akan tetapi kelantangan beliau itu boleh mendatangkan huru-hara kepada negara dan saya tekankan perkara ini kepada IGP (Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar ) kenapa tidak diambil tindakan kepada orang sebegini?

“Jadi, saya minta ketegasan IGP dan polis (ambil tindakan),” katanya.

Ramasamy, Isnin lalu menerusi kenyataannya di Facebook menulis ‘Let us get “Satan” Zakir Naik out of this country!’.

Beliau mendakwa Zakir hanya mahu menyebarkan kebencian di kalangan bukan Islam di negara ini dan menggesa rakyat, khususunya pertubuhan India dan agama Hindu supaya membuat laporan polis terhadap pendakwah itu.

Mengulas lanjut, Irwan berkata kecelupan Ramasamy yang boleh mengundang huru-hara kepada negara kerana kelantangan partinya itu.

“DAP begitu lantang sehinggakan Ramasamy berani menggelar Dr Zakir sebagai setan,” katanya.