Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini memerintahkan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Aziz Muhamad membela diri berhubung tuduhan pecah amanah dan penipuan membabitkan wang Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT).

Manakala Peguam Mohd Firuz Jafril, yang mewakili Abdul Aziz, berkata pihaknya akan memanggil lima orang saksi termasuk Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Annuar Musa, yang juga bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Sebelum itu, Bernama melaporkan, Hakim Mohd Zaki Abdul Wahab berkata keputusan itu dibuat setelah mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Abdul Aziz berdasarkan keterangan 34 saksi.

Bagi tuduhan pertama Abdul Aziz, 61, didakwa bersubahat dengan bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Datuk Alwi Said, 57, melakukan pecah amanah dana Ketengah sebanyak RM2 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan seorang jutawan Ooi Kee Siang (yang masih bebas) antara 27 April dan 31 Julai 1999 di Kompleks Kewangan Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur.

Bagi pertuduhan kedua Abdul Aziz didakwa menipu Menteri Kewangan Kedua (ketika itu Datuk Mustapa Mohamed) supaya mempercayai bahawa cadangan pelaburan Ketengah dalam projek tanaman orkid, ternakan ikan dan kemudahan rekreasi di Tasik Puteri Bukit Besi, Dungun, Terengganu adalah berdaya maju.

Kelulusan pelaburan

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara 24 Jun dan 9 Ogos 1999 di Kementerian Kewangan, Kompleks Pegawai Kerajaan Jalan Duta di Kuala Lumpur.

Penipuan itu didakwa dilakukan melalui surat-surat permohonan kelulusan pelaburan bernilai RM9 juta dalam Tasik Puteri Integrated Farm (M) Sdn Bhd.

Bagi tuduhan itu, Abdul Aziz, didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama pula, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mohd Zaki menetapkan lima hari mulai 1 Jun untuk Abdul Aziz membela diri.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Dzulkifli Ahmad dan Budiman Lutfi Mohamed.