Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ini soal nilai, bukan wang, kata Khairy
Diterbitkan:  Apr 13, 2016 8:30 PM
Dikemaskini: 12:41 PM

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mempertahankan hadiah tunai yang kecil yang diberikan kepada kanak-kanak yang memenangi pertandingan berbasikal baru-baru ini.

Beliau berkata, pemberian duit dalam jumlah yang banyak mungkin merosakkan kanak-kanak, dan menyebabkan mereka menyertai pertandingan untuk mendapat habuan kewangan.

"Kita mahu mereka membesar dengan nilai serta sikap yang betul.

“Ya, wang sangat penting tetapi jika mereka berjaya dalam sukan, mereka akan mendapat habuan kewangan selepas itu tetapi jangan mereka ini dimanjakan atau dirosakkan ketika mereka masih muda.

"Biarlah mereka menang kerana mereka mahu menang, menjadi yang terbaik bukan kerana wang tetapi kerana tekad dan penghormatan," kata beliau di Facebook miliknya hari ini.

Gara-gara menyediakan replika cek bersaiz besar dengan nilai RM30, RM20 dan RM10 bagi hadiah kejohanan berbasikal kategori bawah 9 tahun, acara Kriterium Basikal oleh Junior Cycling Malaysia (JCM) yang berlangsung Sabtu lalu mencuri tumpuan netizen.

Penganjuran acara itu menerima pelbagai komentar pengguna laman sosial kerana dakwaan nilai hadiah oleh pihak penganjur yang disampaikan sendiri oleh Khairy tidak memadai berbanding saiz replika cek.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau mengakui replika cek itu sebagai tidak sesuai, dan JCM akan menghentikan amalan seperti itu di masa depan.

Walau bagaimanapun, nilai hadiah-hadiah tersebut telah lama dimaklumkan kepada para peserta sebelum pertandingan.

Justeru, tambah beliau, tiada isu peserta tidak tahu atau merasa tidak berbaloi.

"Ramai ibu bapa yang membawa anak-anak mereka (sertai pertandingan) tidak memikirkan hadiah wang, telah mengorbankan masa untuk minat berbasikal anak mereka.

"Dan mereka seronok dalam menyokong anak-anak mereka," ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS