Buat kajian sendiri, kata kumpulan mahasiswa pada Tajuddin
Kumpulan mahasiswa Challenger menggesa Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Tajuddin Abdul Rahman menjalankan kajian sendiri bagi menyangkal kajian mereka yang mendapati mahasiswa telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Jika Datuk Haji Tajuddin berpendapat bahawa kajian ini adalah tidak mencukupi maka beliau perlu menjalankan kajian sendiri.
"Bagaimanapun, sekiranya beliau memutuskan untuk berbuat demikian maka kajian ini perlu dijalankan oleh sebuah badan bebas yang tidak mempunyai kepentingan politik," kata anggota Challenger, Aaron Denison dalam satu kenyataan hari ini.
Kumpulan itu berkata demikian selepas Tajuddin memperkecilkan keputusan kajian mereka yang dilakukan secara dalam talian dari 8 Mac hingga 8 April 2016 terhadap 5006 responden daripada universiti di seluruh Malaysia.
Menurut hasil kajian itu, lebih 90 peratus mahasiswa universiti telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Najib sebagai PM.
"Jika Datuk Seri Haji Tajuddin mampu, maka dia perlu memperluaskan kajian ini kerana kami benar-benar merasakan bahawa ia adalah penting bagi anggota-anggota parlimen untuk menerima maklum balas sebenar daripada rakyat Malaysia," kata Aaron.
Semalam, Tajuddin berkata kajian terhadap beberapa ribu pelajar yang tidak berpuas hati itu tidak mencerminkan jutaan rakyat Malaysia yang masih menyokong Najib.
Tajuddin berkata, tiada sebab bagi Umno menggulingkan Najib hanya kerana beberapa ribu pelajar universiti yang ditinjau oleh kumpulan itu tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinannya.
Timbalan menteri itu juga dilapor berkata pelajar universiti mungkin memberontak sekarang tetapi akan bertenang apabila mereka terdedah kepada dunia sebenar, dengan mengaitkan beliau juga pernah menjadi aktivis pelajar dahulu.

