MB Kelantan masuk hospital, keadaan stabil
Diterbitkan: Apr 13, 2016 10:18 PM | Dikemas kini: Apr 13, 2016 10:22 PM
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob kini sedang menerima rawatan dan pemantauan pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), kata Setiausaha Akhbarnya Mohd Asri Mat Daud.
Dalam kenyataan media kepada Malaysiakini sebentar tadi, Mohd Asri berkata Ahmad mengalami sedikit pendarahan di bahagian kepala dan dijangka akan menjalani pembedahan kecil esok.
"Beliau kini sedar sepenuhnya dan berada dalam keadaan stabil.
"Pihak Pejabat Menteri Besar Kelantan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan kesihatan YAB Ustaz Datuk Menteri Besar," katanya.
Beliau turut meminta semua pihak sama-sama mendoakan agar Ahmad pulih seperti sediakala dan dapat berkhidmat seperti biasa.

