Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan bahawa persoalan perlembagaan berkaitan Akta Hasutan yang dibangkitkan oleh peguam N Surendran tidak perlu didengar di Mahkamah Persekutuan.

Hakim Ab Karim Ab Rahman berkata perkara itu tidak sepatutnya dibuat di Mahkamah Tinggi kerana persoalan tersebut telah dijawab dalam kes membabitkan pensyarah undang-undang Dr Azmi Sharom.

Sehubungan itu Ab Karim menetapkan kes tersebut disambung di Mahkamah Sesyen.

Sementara itu, peguam Surendran, Latheefa Koya berkata, pihaknya akan membuat rayuan berhubung perkara tersebut kerana mendakwa persoalan yang dibangkitkan dalam kes Azmi dan ahli parlimen Padang Serai itu berbeza.

"Sekarang kita balik ke Mahkamah Sesyen untuk membuat permohonan pergantungan sebab kita akan terus membuat rayuan terhadap keputusan Yang Arif tadi.

"Kita akan beritahu mahkamah yang kita akan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan tentang keputusan yang dibuat hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini

Sebelum ini Surendan membuat rayuan memohon mahkamah lebih tinggi untuk mendengar isu-isu perlembagaan berkaitan Akta Hasutan.

Ia berhubung dakwaan terhadapnya susulan sebuah video di YouTube yang memaparkan beliau berkata tuduhan liwat II merupakan satu helah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memenjarakan pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.