Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Malaysiakini mengenai penarikan diri seorang hakim daripada mendengar saman yang difailkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap portal berita itu.

Dengan keputusan ini, Hakim Mahkamah Tinggi Seremban, Datuk Kamaludin Md Said akan terus mendengar kes berkenaan.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan bahawa permohonan portal berita itu difailkan di luar masa.

"Tambahan pula permohonan untuk mengkaji semula keputusan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin tidak boleh dipinda," katanya.

Hakim lain yang bersidang sama ialah Vernon Ong dan Datuk Abdul Rahman Sebli.

Keputusan itu dibuat di sebalik hujah peguam Malaysiakini , Malik Imtiaz Sarwar bahawa permohonan berkenaan bertujuan untuk mengekalkan integriti badan kehakiman.

Ini berikutan hal keadaan kes itu, terutamanya apabila kes tersebut difailkan di Kuala Lumpur, namun perkara berkenaan kini dipindahkan ke Seremban.

"Ini adalah apabila perbicaraan kes itu belum bermula dan terdapat hakim mahkamah sivil lain yang boleh mendengar kes itu," katanya.

[Baca berita penuh]