Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Putrajaya pilih Wahid Omar ganti Zeti?
Diterbitkan:  Apr 14, 2016 1:20 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah disebut-sebut sebagai calon Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Bagaimanapun, kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dikatakan telah mendapat restu Putrajaya untuk mengambil alih jawatan tersebut.

Dr Zeti yang akan menamatkan kontraknya akhir bulan.

Selain Irwan ( gambar ) dan Abdul Wahid, seorang lagi yang dispekulasikan ke jawatan itu ialah Timbalan Gabenor Datuk Muhammad Ibrahim.

Menurut sumber yang dekat dengan bank pusat itu, rata-rata khabar angin memetik Wahid untuk mengambil alih jawatan Dr Zeti, namun pihaknya enggan mempercayainya sehingga pengumuman dibuat.

"Dengar-dengar ialah Wahid tetapi biasalah jika ada pertukaran saat-saat akhir oleh Putrajaya," jelas beliau.

Sebelum dilantik ke jawatan semasa pada tahun 2013, Wahid menerajui bank terbesar di Malaysia, Kumpulan Maybank selaku presiden dan ketua pegawai eksekutif selepas membuktikan kemampuan menguruskan beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Antara GLC yang pernah mendapat sentuhan Wahid ialah Telekom Malaysia dan Kumpulan UEM yang mengumpulkan pengalaman hampir 30 tahun beliau dalam dunia korporat tempatan.

Sebelum ini, Bloomberg pernah mendedahkan senarai lapan calon yang dikatakan bakal menjadi gabenor BNM selepas Dr Zeti.

Nama-nama lain disenaraikan Bloomberg termasuk Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Timbalan Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Nama lain yang turut tersenarai ialah bos Tabung Haji Tan Sri Datuk Paduka Ismee Ismail yang juga menduduki kerusi pengarah 1MDB serta Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang merupakan anggota jawatankuasa dasar kewangan bank pusat itu.

Sementara itu, seorang jurucakap media Bank Negara menjelaskan, pengumuman berkaitan hanya akan dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Najib Razak.

"Selalunya, jika melihat contoh-contoh terdahulu, PM akan membuat pengumuman mengenai dalam tempoh seminggu sebelum tarikh akhir seseorang gabenor," jelas beliau kepada Malaysiakini .

Difahamkan mesyuarat jawatankuasa dasar kewangan bank pusat itu akan berlangsung esok dan bakal dihadiri semua pengarah dan beberapa tokoh penting kewangan negara.

Lihat Komen
ADS