Gabungan lapan NGO Hindu yang dikenali sebagai 'Super 8' menolak kehadiran pendakwah Islam kontroversi dari India, Dr Zakir Naik ke negara ini.

Jurucakap kumpulan itu, Arun Dorasamy berkata Zakir sering membuat kesimpulan dan memberikan tafsiran salah berkenaan agama Hindu kepada orang Islam.

“Penganut hindu tidak pernah campur dalam hal ehwal dakwah orang Muslim tetapi Dr Zakir Naik, disebabkan perbuatan beliau menggunakan agama Hindu ketika berdakwah kepada orang Islam memberikan interpretasi yang salah, biadab dan kurang sopan.

“Beliau pendakwah antarabangsa yang menggunakan pengetahuan berdasarkan kesimpulan sendiri, ia akan memberikan salah faham mengenai agama Hindu kepada orang Islam,” katanya di Wisma MHS di Petaling Jaya.

Sebelum ini beberapa laporan polis dibuat terhadap syarahan Zakir dengan mendakwa pendakwah itu sering mengeluarkan kenyataan anti-Hindu dan menghina agama lain.

Sementara itu Presiden Malaysian Indian Progrssive Association (MIPAS) Rajarentinam Armuggan berkata pihaknya tidak risau sekiranya penganut agama Hindu memeluk Islam kerana mendengar ceramah Zakir.

Sebaliknya beliau berkata pihaknya lebih prihatin terhadap orang Islam yang menerima ilmu yang salah berkenaan agama Hindu dan memandang serong terhadap agama lain.

“Dekat Malaysia kita tak risau orang Hindu akan masuk Islam tapi kita risau rakan Islam diajar dengan pengetahuan yang salah, jadi orang Islam akan lihat Hindu dengan pandangan yang salah.

“Kita lindungi rakan Islam dari info yang salah,” katanya.

Antara lapan NGO itu ialah Malaysian Hindu Sangam, Hindu Youth Organization, Malaysia Hindu Academy, Hindu Sevagai Sangam, Hindu Dharma Maamandram Malaysia, ISKON Malaysia, Malaysia Archnagar Sangam dan Saiva Natpani Kalgam.