Sebuah NGO membuat laporan polis terhadap Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin susulan kenyataan didakwa menyamakan mereka dengan Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).

Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) mendakwa Asri membuat “fitnah jahat” dengan mendakwa mereka membantah kehadiran penceramah perbandingan agama Dr Zakir Naik ke Malaysia.

“Walhal tuduhan itu tidak benar sama sekali.

“Ia sengaja dibuat Dr Asri bertujuan untuk menimbulkan kemarahan umat Islam terhadap Aswaja,” menurut kenyataan biro komunikasi dan media NGO itu.

Aswaja menjelaskan mereka tidak pernah sesekali mencampuri urusan ceramah Zakir ( gambar ) ke Malaysia, apatah lagi membantah kehadirannya.

Aswaja sebelum ini telah menggesa Asri mengemukakan bukti bahawa mereka menentang kedatangan Zakir.

Asri antaranya menulis di Facebook, ketika ribuan mendapat manfaat dan memeluk Islam dengan ceramah Zakir, “Aswaja ini tetap mempertikaikan pegangan agama Dr Zakir Naik seiras dengan nada kumpulan Hindu Hindraf”.

Dalam kenyataan hari ini, Aswaja mendakwa kenyataan Asri mengakibatkan Presiden Aswaja Zamihan Mat Zin diugut pengguna Facebook “yang boleh mengancam keselamatan beliau”.

Mereka juga berkata tindakan mahkamah akan menyusul selepas ini.

“Sebenarnya, ini bukan kali pertama Asri memfitnah Ustaz Zamihan dan Aswaja.

“Namun, kali ini kami merasakan tidak boleh lagi berdiam diri apabila kenyataannya itu turut berbaur hasutan dan ancaman keselamatan,” katanya.

Asri dan Zamihan terkenal sebagai dua pendakwah lantang berbeza pandangan. Cadangan debat mereka berdua sebelum gagal menjadi kenyataan.

Sementara itu, di Facebook beliau, Asi berkata dalam keadaan semua pihak mempertahankan wacana intelektual Zakir, sepatutnya tiada pihak cuba menimbulkan syak wasangka.

Apatah lagi dalam kalangan umat Islam, tambah Asri

"Dibimbangi pihak lain mengambil kesempatan," katanya.