22 pengusaha ikan air tawar rugi akibat El Nino
Dua puluh dua pengusaha ternakan ikan sangkar air tawar berkelompok di Kampung Pantai Ali, Hulu Terengganu mengalami kerugian hampir RM100,000 ekoran fenomena El Nino yang sedang melanda negara ketika ini.
Fenomena El Nino sejak awal tahun ini menyebabkan paras sungai di Hulu Terengganu menjadi cetek sekali gus menyebabkan ternakan ikan tilapia dan patin di dalam kira-kira 300 sangkar milik mereka terjejas.
Seorang pengusaha, Mohd Yusof Abdul Rahman, 47, berkata fenomena suhu panas ini dianggap paling teruk pada tahun ini kerana hasil ternakan ikan mereka merosot berbanding tahun sebelumnya.
"Kalau dulu kami boleh dapat lebih kurang satu tan untuk sebuah sangkar sebulan... sekarang nak dapat 300 kilogram pun susah.
"Pagi-pagi datang sebab nak bagi makan ikan mesti berdebar-debar kerana fikir pasti akan ada ikan yang terapung mati dalam sangkar. Kadang-kadang sudah rasa malas nak datang...boleh kata hampir 50 ekor ikan mati dalam sehari," katanya ketika ditemui pemberita di Hulu Terengganu semalam.
Mohd Yusof dan rakan penguasaha yang lain telah mengusahakan sangkar yang diternak ikan air tawar seperti tilapia, patin dan baung hampir 14 tahun.
Katanya, kebanyakan ikan yang mati adalah jenis tilapia kerana ikan berkenaan sangat sensitif dengan suhu yang ekstrem.
"Jabatan Perikanan ada melawat tapak ini seminggu sekali untuk melihat keadaan yang sedang melanda, mereka ada memberi sumbangan benih ikan kepada kami namun dengan keadaan sekarang yang panas, ikan-ikan yang kecil juga mudah mati," katanya.
Mohd Yusof berkata biasanya ikan dari sangkarnya akan dipasarkan di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Lancang, Pahang dan di sekitar kawasan kampung tersebut.
"Sebab itu saya risau jika keadaan ini berterusan saya tak dapat memenuhi permintaan pasaran terutama apabila permintaan terhadap ikan air tawar meingkat dua kali ganda pada musim bulan puasa nanti," katanya.
Sementara itu, Ketua Daerah Perikanan Hulu Terengganu Jamlus Md Noor yang ditemui mengakui suhu air sungai yang tinggi mencecah 37 celcius serta paras air yang cetek penyebab utama kematian ikan di sangkar berkenaan.
"Cuaca panas sekarang adalah sesuatu yang kita tidak boleh elak namun pihak kami sedang menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa daerah untuk membenarkan kami mengorek pasir bagi memperdalamkan kawasan sangkar ini dengan kadar segera," katanya.
Katanya, buat masa ini pihaknya telah bertemu dengan penternak ikan sangkar kawasan tersebut dan menasihatkan mereka supaya mengurangkan kadar pemeliharaan ikan sehingga projek mendalamkan sungai selesai bagi mengelakkan kerugian yang lebih tinggi.
- Bernama

