Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tiga calon BN di Sarawak masih jadi teka teki

Calon Barisan Nasional (BN) bagi tiga lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) masih menjadi teka-teki selepas pengumunan lima lagi calon oleh Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, di Sibu hari ini.

Kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) itu yang belum diumumkan calon itu ialah DUN Tasik Biru, Meradong dan DUN Marudi.

"Saya akan mengumumkan calon kerusi berkenaan pada tarikh kemudian," kata ketua menteri itu pada sidang media di Sibu.

Sebelum itu, beliau mengumumkan dua lagi calon langsung BN dan tiga calon BN untuk pilihan raya itu pada 7 Mei ini.

Susulan pengumuman itu, BN Sarawak sudah menamakan 79 calon daripada 82 kerusi dipertandingkan.

Dua calon langsung itu ialah Tan Sri William Mawan Ikom dan Datuk Janet Lau.

Mawan akan mempertahankan kerusi DUN Pakan yang dimenanginya pada plihan raya negeri lepas ketika masih menjadi presiden parti Demokratif Progresif Sarawak (SPDP).

Mawan, yang kini menjadi presiden Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), akan melepaskan jawatan dan keluar parti tersebut selepas ini untuk bertanding sebagai calon langsung BN.

Lau, yang merupakan balu kepada bekas Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hoi Chew, adalah pengerusi Parti Rakyat Bersatu (UPP) cawangan Pelawan dan akan merebut kerusi DUN Pelawan daripada tangan DAP.

Beliau juga akan meletak jawatan dan keluar daripada UPP selepas ini.

Calon BN yang diumumkan Adenan selepas dipilih oleh SPDP ialah Kilat Beriak, Rolland Duat dan Willie Liau, masing-masing bagi kerusi DUN Krian, Meluan dan DUN Ba Kelalan.

Kilat dan Rolland adalah muka baharu yang diketengahkan oleh SPDP manakala Willie pernah bertanding di Ba Kelalan pada pilihan raya negeri lepas namun gagal merampasnya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diwakili oleh Baru Bian.

Kilat akan juga akan berdepan calon PKR iaitu Ali Biju yang merampas kerusi Krian dari BN yang diwakili oleh Peter Nyarok Entrie dari SPDP pada pilihan raya negeri lepas.

Sementara itu, Rolland akan cuba mengembalikan kerusi Meluan kepada SPDP yang dimenangi oleh Wong Judat yang juga dari SPDP pada PRN-10 lepas.

Namun pada Julai 2012 Wong keluar daripada SPDP dan menyertai Parti Pekerja Sarawak (SWP) untuk menentang Datuk Joseph Salang (SPDP) bagi kerusi Parlimen Julau pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei 2013.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS